DUNIA

Niaga Hadapan Msm Ditutup Tinggi

20/05/2024 09:55 PM

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) -- Kontrak hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup lebih tinggi hari ini selepas didorong oleh kenaikan dalam harga minyak kacang soya di Lembaga Perdagangan Chicago pada waktu Asia. 

Bagaimanapun, peniaga minyak sawit David Ng berkata anggaran eksport yang lebih lemah memberi tekanan kepada komoditi itu dan mengehadkan potensi peningkatannya. “Kami melihat sokongan pada paras RM3,850 satu tan dan rintangan pada RM4,000,” katanya kepada Bernama. 

Penganalisis Kanan Minyak Sawit Palm Oil Analytics Fastmarkets Dr Sathia Varqa memberitahu niaga hadapan MSM ditutup lebih tinggi pada hari ini selepas seharian perdagangan menyaksikan keadaan yang tidak menentu. 

“Niaga hadapan memulakan hari dengan lebih tinggi tetapi melepaskan sebahagian besar keuntungan menjelang tengah hari, dan kemudiannya melonjak untuk berakhir dengan 26 mata sederhana selepas memperoleh sokongan daripada niaga hadapan minyak sayuran berkaitan di Asia

“Niaga hadapan minyak sayuran berkaitan seperti olein sawit serta minyak kacang soya menutup hari ini lebih mantap dengan lebih 100 mata pada niaga hadapan Bursa Komoditi Dalian manakala niaga hadapan minyak biji sesawi ditutup melebihi 60 mata di Bursa Komoditi Zhengzhou," katanya. 

Pada penutup, kontrak bulan semerta Jun 2024 meningkat RM10 kepada RM3,905 satu tan, Julai 2024 menambah RM22 kepada RM3,916 dan Ogos 2024 menokok RM29 kepada RM3,921.

September 2024 naik RM30 kepada RM3,925 satu tan, Oktober 2024 adalah RM32 lebih tinggi kepada RM3,931 dan November 2024 bertambah sebanyak RM36 kepada RM3,942.

Jumlah dagangan susut kepada 52,100 lot berbanding 67,458 yang dicatatkan pada Jumaat lepas manakala kepentingan terbuka mengecil kepada 199,664 kontrak daripada 204,710.

Harga MSM fizikal bagi Jun Selatan kekal tidak berubah pada RM3,950 satu tan.

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan