EKONOMI

Perdagangan E&e Malaysia Perlu Langkah Lebih Padu Untuk Kuasai Pasaran Global - Matrade

20/05/2024 11:42 PM

Oleh Nurul Jannah Kamaruddin

KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) -- Tidak dinafikan bahawa sektor elektrik dan elektronik (E&E) Malaysia kini sedang melonjak naik, namun kita bukan satu-satunya negara yang bersaing untuk menguasai pasaran perdagangan semikonduktor global.

Meskipun negara berada di landasan yang betul untuk mencapai tahap yang lebih tinggi, usaha yang lebih padu dan berani diperlukan untuk merebut peluang yang bakal dijana oleh sektor itu pada tahun-tahun mendatang.

Dalam hal ini, semua tumpuan pastinya terarah kepada Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), agensi di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), yang dipertanggungjawab untuk memperkasakan peranan Malaysia dalam industri E&E global.

Ketua pegawai eksekutif  Matrade Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata visi agensi itu adalah untuk menjadikan industri tersebut kalis masa depan dan mencapai pasaran global yang lebih luas.

 

Memanfaatkan FTA untuk meluaskan kehadiran global

 

Malaysia, yang terletak di tengah-tengah rantau Asia Tenggara, menjadi asas utama kepada rantaian bekalan semikonduktor global, dengan kehadiran kukuh di Amerika Syarikat (AS), Eropah dan China.

Setakat ini, Malaysia telah menandatangani 16 perjanjian perdagangan bebas (FTA), termasuk Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

Perjanjian itu melancarkan aliran perdagangan dan pelaburan, menyokong penyepaduan sektor tersebut ke dalam rantaian bekalan global dan pertumbuhan ekonomi yang kukuh.

Eksport ke negara-negara rakan FTA menyumbang 69.6 peratus atau RM992.81 bilion daripada jumlah eksport tahun lepas, dengan eksport utama adalah produk elektrik dan elektronik (E&E), produk petroleum, kimia dan produk kimia.

Justeru, Mohd Mustafa berkata melalui penglibatan proaktif dalam perjanjian perdagangan antarabangsa, Matrade boleh meningkatkan usaha untuk meneroka pasaran baharu, memastikan negara tidak terlepas peluang meraih manfaat daripada lonjakan sektor E&E di pasaran seperti India.

Industri perkhidmatan pembuatan elektronik India berkembang kukuh didorong oleh bahagian penyumberan luar yang tinggi oleh pengeluar peralatan asal (OEM) serta sektor ekosistem komponennya yang sedang pesat membangun dan insentif kerajaan.

Ketika ini, pasaran elektronik di India bernilai US$155 bilion (RM726.02 bilion), dengan pengeluaran domestik menyumbang 65 peratus.

“Walaupun Malaysia merupakan antara 10 sumber import teratas India bagi produk semikonduktor pada 2023, sumbangan itu hanya 2.9 peratus daripada jumlah keseluruhan import, dan masih terdapat peluang yang besar untuk mencapai pertumbuhan seterusnya,” katanya kepada Bernama.

Mohd Mustafa berkata Matrade menyelaras penyertaan syarikat Malaysia dalam pameran perdagangan antarabangsa seperti International Electronics Manufacturing and Interconnections (IEMI) di Pulau Pinang (24-25 Julai) dan Bangalore, India (29-30 Julai, 2024), SEMICON Southeast Asia (SEA) di Kuala Lumpur (28-30 Mei), SEMICON West di San Francisco, Amerika Syarikat (9-11 Julai) dan Industrial Transformation Asia Pacific di Singapura (14-16 Oktober).

Bagi SEMICON SEA, Matrade bekerjasama dengan persatuan industri terkemuka di luar negara, seperti China Semiconductor Industry Association (CSIA) dan Taiwan Electronic Equipment Industry Association (TEEIA), untuk membawa syarikat ahli mereka menyertai program pemadanan perniagaan dengan syarikat tempatan.

“Tahun ini, penglibatan Matrade dalam SEMICON SEA akan mengambil pendekatan berbeza, bekerjasama rapat dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan agensi kerajaan lain seperti Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Pemecut Penyelidikan Malaysia untuk Teknologi dan Inovasi (MRANTI).

“Malaysia Sourcing Pavilion akan merangkumi padanan perniagaan, mesyuarat meja bulat, Program Pembangunan Vendor oleh Intel, rundingan oleh TEEIA dan Konsortium Syarikat Pertengahan Malaysia (MCMTC), perbincangan mengenai alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), sesi rangkaian dan pameran yang diselaraskan oleh MDEC dan MRANTI yang menampilkan syarikat teknologi Malaysia,” katanya.

Sementara itu, tahun ini merupakan tahun ke-15 berturut-turut Matrade menyertai SEMICON West di Amerika Syarikat (AS), pameran perdagangan antarabangsa utama untuk industri semikonduktor dan mikroelektronik global.

SEMICON West turut mengetengahkan subindustri berkaitan seperti LED, sistem mikro-elektro-mekanikal (MEMS), fotovoltan, elektronik fleksibel, paparan dan nanoelektronik.

Mohd Mustafa berkata pavilion Malaysia di SEMICON West akan mempamerkan keupayaan teknikal 10 syarikat Malaysia yang ingin meneroka peluang kerjasama dengan syarikat asing.

 

Malaysia teruskan pencapaian cemerlang sektor E&E 

 

Mohd Mustafa berkata Malaysia telah mencapai kejayaan dengan manfaat yang besar dalam sektor E&E dan mengukuhkan kedudukannya sebagai hab serantau untuk pengeluaran semikonduktor.

Selain itu, data daripada S&P Global Trade Analytics (GTA) menyenaraikan Malaysia sebagai pengeksport ke-10 terbesar untuk produk E&E dan pengeksport semikonduktor keenam terbesar, walaupun pasaran elektronik global menghadapi cabaran.

Malaysia juga antara 10 pengeksport utama untuk peralatan ujian automatik (ATE) di dunia.

Pencapaian negara juga disokong dengan baik oleh angka prestasi perdagangan yang lebih baik selepas mencatatkan RM931.39 bilion atau US$204.19 bilion untuk perdagangan elektrik dan elektronik pada 2023 sahaja.

Mohd Mustafa berkata sebahagian besar daripada perdagangan ini, yang berjumlah RM575.45 bilion (US$126.18 bilion), adalah daripada eksport, menunjukkan peranan penting industri E&E dalam ekonomi Malaysia. 

Beliau berkata pasaran eksport utama termasuklah Singapura, AS, China, Hong Kong dan Taiwan.

“Eksport peranti semikonduktor, litar bersepadu (IC), transistor dan injap secara keseluruhannya membentuk 67 peratus daripada jumlah eksport E&E Malaysia pada 2023, berjumlah RM387.45 bilion (US$84.95 billion),” katanya.

Mohd Mustafa berkata dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang, prestasi perdagangan dalam E&E dijangka dipengaruhi oleh trend global yang menawarkan peluang dan cabaran.

“Malaysia perlu bersedia untuk memanfaatkan trend ini, yang termasuk peralihan demografi, transformasi ekonomi, keperluan kemampanan, tingkah laku pembeli yang berubah-ubah, penumpuan kos pembuatan dan rantaian bekalan, ketidaktentuan dalam perdagangan global dan faktor lain,” katanya.

Beliau turut yakin bahawa Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), yang bertujuan untuk meningkatkan kepelbagaian aktiviti ekonomi Malaysia melalui pembangunan sektor strategik, dapat menyokong keperluan industri pada masa depan.

Antara 32 sektor yang dikenal pasti, sektor E&E paling menonjol, dengan menumpukan kepada pelbagai peluang yang didorong permintaan global yang kukuh, termasuk melonjakkan rantaian nilai untuk menfokuskan aktiviti bahagian hadapan khususnya reka bentuk IC, pembungkusan termaju dan meningkatkan keupayaan fabrikasi wafer.

“Memandangkan aliran global bersedia bergerak ke arah teknologi termaju dalam peranti berkuasa Kecerdasan Buatan (AI), 5G, pengkomputeran kuantum dan kenderaan autonomi (AV), Malaysia sedang memperluas tumpuannya melangkaui reka bentuk IC kepada sektor bernilai tinggi.

“Produk seperti kenderaan elektrik (EV), teknologi dron, aeroangkasa dan teknologi perubatan (MedTech) memanfaatkan kemajuan teknologi seperti penyepaduan AI dan Internet Pelbagai Benda (IoT) untuk prestasi dan keselamatan dipertingkatkan; penggunaan bahan dan teknologi baharu bagi teknologi yang lebih ringan dan mementingkan iklim untuk mengurangkan pelepasan karbon; robotik dan automasi,” katanya.

Beliau berkata penubuhan Pasukan Petugas Strategik Semikonduktor Kebangsaan (NSSTF) dan pengumuman Hab Reka Bentuk IC di Selangor oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini penting untuk menyokong kerja reka bentuk bahagian hadapan bernilai tinggi, dan beralih daripada pengeluaran.

 

Lonjak penyertaan PKS dalam sektor E&E

 

Mohd Mustafa berkata perusahaan kecil dan sederhana (PKS) telah menyumbang kepada eksport dan guna tenaga negara dalam sektor pembuatan dengan ketara.

Syarikat daripada kalangan PKS itu menghasilkan komponen E&E seperti semikonduktor, papan litar bercetak, komponen pasif, serta produk pengguna dan akan terus dibantu.

Daripada syarikat peringkat pertengahan, ViTrox Technologies Sdn Bhd menjelaskan sokongan yang diberikan oleh entiti kerajaan khususnya Matrade, melalui pandangan pasaran yang komprehensif, peluang rangkaian luas dan perkongsian strategik telah menyumbang secara ketara kepada pengukuhan kedudukannya sebagai inovator utama dalam penyelesaian pembuatan.

“Trajektori eksport antarabangsa ViTrox Technologies, yang menjangkau 32 negara dan melibatkan 363 pelanggan di seluruh dunia pada 2023, membuktikan pendekatan strategik kami terhadap penembusan pasaran global,” kata Pengarah Kanan Pembangunan Perniagaan Gary Leong Chee Yeong.

Sementara itu Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan JF Technology Bhd (JF Tech) Datuk Foong Wei Kuong berkata sokongan berharga yang diberikan oleh Matrade telah berperanan penting dalam perjalanan syarikat itu.

“Contohnya, reruai Pavilion Malaysian anjuran Matrade untuk SEMICON West di San Francisco membuka pintu untuk pasaran AS.

“Selain itu, penyertaan terbaru kami dalam Program Pembangunan Syarikat Peringkat Pertengahan Wave 10 sebagai sebahagian daripada program pecutan pertumbuhan eksport oleh Matrade membawa banyak peluang dan perkongsian baharu yang berharga,” katanya.

CG Global Profastex Manufacturing Sdn Bhd, PKS milik wanita pula menjelaskan sejak menjadi ahli Matrade pada 2018, syarikat itu telah mengembangkan kehadiran pasaran globalnya di AS, United Kingdom, Perancis, Australia, dan China melalui penyertaan dalam pameran perdagangan antarabangsa dan aktiviti padanan perniagaan.

“Kewujudan pejabat Matrade di  seluruh dunia, dengan  wakil yang berkebolehan, memudahkan proses yang lancar untuk memasuki pasaran baharu,” kata Pengarah Urusan Siti Padillah Abdul Wahab.

Jualan semikonduktor global dianggarkan meningkat 13.1 peratus kepada US$588.36 bilion (RM2.76 trilion) pada 2024.

Pertumbuhan sektor itu dijangka didorong oleh subsektor memori, yang berada di landasan untuk meloinjak lebih 40 peratus kepada US$130 bilion (RM608.9 bilion) pada 2024.

-- BERNAMA


 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan