AM

LEBIH 100 PMKS DIJANGKA SERTAI HARI EKSPORT 2024 PULAU PINANG

17/07/2024 08:24 AM

KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) -- Lebih 100 syarikat perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bakal menyertai Hari Eksport 2024 anjuran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade)  di Bayan Lepas, Pulau Pinang, selama dua hari bermula 22 Julai, 2024.

Matrade berkata penganjuran Hari Eksport 2024 di Pulau Pinang itu merupakan siri kedua selepas Melaka pada 2 Julai lepas yang bertujuan untuk memperkukuh jumlah perdagangan dari negeri itu dengan pemain industri. 

"Orang ramai terutamanya usahawan PMKS dijemput untuk menghadiri Hari Eksport 2024 itu bagi mengukuhkan aktiviti eksport di negeri tersebut selain mempelajari kaedah mempromosikan produk yang ditawarkan PMKS tempatan," kata perbadanan itu dalam satu kenyataan hari ini.

Matrade berkata PMKS yang akan menyertai program itu terlibat antaranya dalam sektor makanan dan minuman, jentera dan logistik serta gaya hidup dan perkhidmatan. 

Hari Eksport 2024 Pulau Pinang itu dianjurkan bersama kerajaan negeri menerusi Perbadanan Kemajuan Negeri Pulau Pinang (PDC) dengan kerjasama rakan strategik terdiri daripada Affin Bank Berhad, Alibaba.com, Exim Bank Malaysia, FedEx Malaysia dan Maybank Islamic Berhad.

Menurut kenyataan itu terdapat sebanyak 958 PMKS di Pulau Pinang yang bergiat dalam sektor utama termasuk makanan dan minuman, perkhidmatan perniagaan dan kewangan, produk kesihatan, pembinaan dan alam sekitar serta elektrik dan elektonik. 

Pulau Pinang mengekalkan kedudukan sebagai pengeksport utama negara pada 2023 dengan menyumbang RM434.74 bilion atau 30.5 peratus kepada jumlah eksport Malaysia.

Matrade berkata Hari Eksport 2024  seterusnya bakal diadakan di Kuching, Sarawak pada 16 Ogos ini, yang dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED).

Hari Eksport 2024 adalah program pembangunan pengeksport tahunan Matrade yang diadakan dengan kerjasama kerajaan negeri dan rakan strategik agensi berkenaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan