AM

PM Lakukan Lawatan Kerja Ke Jepun

21/05/2024 08:48 PM

Daripada Noor Soraya Mohammad Jamal

TOKYO, 21 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan kerja ke Jepun dari 22 hingga 24 Mei 2024 bagi menghadiri Persidangan Antarabangsa ke-29 mengenai Masa Depan Asia (Persidangan Nikkei).

Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan pada lawatan kerja itu, Perdana Menteri akan diiringi Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; dan Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong.

Anjuran Nikkei Inc sejak 1995, Persidangan Nikkei menghimpunkan pemimpin kerajaan dan perniagaan untuk menyuarakan pandangan mereka mengenai masa hadapan Asia dan dianggap sebagai salah satu daripada persidangan global paling penting di Asia.

Pada persidangan ini yang pertama kali disertai Anwar sejak dilantik sebagai Perdana Menteri pada November 2022 itu, beliau akan menyampaikan ucaptama dengan tema “Asian Leadership in an Uncertain World”.

Pemimpin Asia lain yang akan berucap di persidangan itu termasuklah Perdana Menteri Singapura yang baru dilantik, Lawrence Wong; Presiden Laos Thongloun Sisoulith; dan bekas Duta Besar Indonesia ke Amerika Syarikat Dino Patti Djalal.

Semasa lawatan itu, Perdana Menteri dijadualkan mengadakan mesyuarat dua hala dengan Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida, bagi menilai dan membincangkan inisiatif memperkukuh hubungan serta kerjasama susulan penaiktarafan hubungan dua hala kepada ‘Perkongsian Strategik Komprehensif’ pada Disember 2023.

Antara perkara yang dijangka dibincangkan ialah teknologi tinggi, kolaborasi dalam peralihan tenaga dan alam sekitar, pertahanan dan keselamatan serta kerjasama dalam pendidikan tinggi.

Kedua pemimpin itu juga akan bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama. 

Mengiktiraf peranan Jepun sebagai salah satu sumber utama pelaburan langsung asing Malaysia dan potensi pertumbuhan dalam bidang ekonomi, Perdana Menteri juga akan mengadakan sesi libat urus dengan beberapa peneraju industri Jepun.

Sehingga tahun 2023, sebanyak 2,810 projek oleh syarikat Jepun telah dilaksanakan di Malaysia, dengan nilai pelaburan berjumlah RM102.11 bilion (USD29.67 bilion), menyediakan 344,120 peluang pekerjaan.

Jepun merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia untuk sembilan tahun berturut-turut.

 Pada tahun 2023, jumlah dagangan antara Malaysia dan Jepun bernilai RM156.64 bilion (USD34.39 bilion).

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan