EKONOMI

Terma Perdagangan Naik 1.3 Peratus Pada Jun, Dipacu Kenaikan Indeks Minyak Galian - Perangkaan

26/07/2024 03:36 PM

KUALA LUMPUR, 26 Julai (Bernama) -- Terma perdagangan Malaysia, yang mengukur harga eksport negara berbanding harga import, bertambah 1.3 peratus bulan ke bulan kepada 116.3 mata pada Jun 2024, dipacu oleh kenaikan indeks minyak galian, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata indeks minyak galian naik 5.4 peratus, diikuti minyak dan lemak binatang serta sayur-sayuran (2.8 peratus) dan makanan (1.1 peratus).

Beliau berkata terma perdagangan Malaysia tahun ke tahun naik 5.4 peratus daripada 111.4 mata pada Jun 2023.

Mohd Uzir berkata indeks nilai seunit eksport meningkat 0.6 peratus pada Jun 2024, daripada 150.3 mata pada bulan sebelumnya kepada 151.2 mata, disumbangkan oleh kenaikan 2.4 peratus indeks minyak galian, makanan (+1.2 peratus) serta  alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (+0.2 peratus).

Bagaimanapun, indeks volum eksport merosot 2.1 peratus, selaras dengan penyusutan indeks barang-barang keluaran kilang (-13.8 peratus), minyak dan lemak binatang dan sayur-sayuran (-13.6 peratus), dan pelbagai barang keluaran kilang (-7.7 peratus).

Indeks volum eksport pelarasan bermusim turut merosot 13.5 peratus daripada 172.2 mata kepada 149.0 mata.

"Merujuk kepada perbandingan tahunan, indeks nilai seunit bertambah 6.6 peratus manakala indeks volum berkurang 4.6 peratus," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, indeks nilai seunit import jatuh 0.7 peratus pada Jun 2024, disumbangkan oleh penurunan indeks minyak dan lemak binatang dan sayur-sayuran (-6.0 peratus), minyak galian (-2.8 peratus) dan bahan kimia (-0.5 peratus).

Sementara itu, indeks volum import turut merosot 4.7 peratus pada Jun 2024 berbanding Mei 2024, disumbangkan oleh penyusutan indeks barang-barang keluaran kilang (-13.0 peratus), bahan kimia (-6.1 peratus) dan alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (-2.8 peratus).

Indeks volum import pelarasan bermusim pula berkurang 15.7 peratus daripada 220.9 mata kepada 186.2 mata.

Bagi perbandingan tahun ke tahun, menunjukkan indeks nilai seunit dan indeks volum import masing-masing berkembang 1.2 peratus dan 16.4 peratus.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan