EKONOMI

SEDC ENERGY AKAN BEKAL GAS HIDROGEN, AMMONIA KEPADA KOREA SELATAN – ABANG JOHARI

21/05/2024 11:13 PM

KUCHING, 21 Mei (Bernama) -- SEDC Energy Sdn Bhd, anak syarikat Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) akan membekalkan gas hidrogen dan ammonia untuk digunakan di Korea Selatan.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata pembekalan gas hidrogen dan ammonia itu bertujuan untuk digunakan dalam usaha Korea Selatan beralih dari penggunaan arang batu kepada sumber tenaga yang boleh diperbaharui.

Dalam catatan di laman rasmi Facebook Premier Sarawak hari ini, beliau berkata perkara itu merupakan antara persetujuan yang dicapai dalam mesyuarat di antara kerajaan Sarawak serta Kementerian Perdagangan, Industri dan Tenaga Korea Selatan hari ini.

Kementerian itu diwakili Timbalan Menterinya, Lee Hohyeon yang membincangkan beberapa aspek kerjasama lain berhubung tenaga yang boleh diperbaharui.

Abang Johari yang kini dalam rangka lawatan kerja selama dua hari ke negara Timur Jauh itu tiba di Seoul petang Isnin lepas, beliau diiringi Menteri Utiliti dan Komunikasi Sarawak, Datuk Seri Julaihi Narawi serta Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni.

Rombongan Premier Sarawak itu turut dibawa meninjau operasi Loji Tenaga Yongheung milik Korea South-East Power Company (KOEN) yang terletak di selatan ibu negara Korea Selatan itu.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Datuk Dr Muhammad Abdullah Zaidel serta Pengerusi SEDC, Tan Sri Abdul Aziz Hussain turut bersama dalam rombongan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan