AM

SQ321: 16 RAKYAT MALAYSIA ANTARA PENUMPANG PESAWAT LONDON-SINGAPURA

22/05/2024 02:43 AM

SINGAPURA, 21 Mei (Bernama) -- Enam belas rakyat Malaysia adalah antara 211 penumpang dalam pesawat Singapore Airlines (SIA) penerbangan SQ321 dari London ke Singapura yang terpaksa melakukan pendaratan kecemasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi, Bangkok pada petang Selasa.

SIA dalam kemas kini terkini pada pukul 10.35 malam di Facebook, bagaimanapun tidak menyatakan keadaan mereka.

Terdapat juga 41 penumpang dari Singapura, United Kingdom (47), Australia (56), Kanada (dua), Jerman (satu), India (tiga), Indonesia (dua), Iceland (satu), Ireland (empat), Israel (satu), Myanmar (dua), New Zealand (23), Filipina (lima), Korea Selatan (satu), Sepanyol (dua), dan AS (empat) di dalam penerbangan itu.

Pengarah Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi, Kittipong Kittikachorn, sebelum ini berkata mangsa yang terkorban dalam kejadian itu adalah seorang lelaki British berusia 73 tahun.

SIA berkata penerbangan tersebut menghadapi gelora udara yang tiba-tiba dan ekstrem di atas Lembangan Irrawaddy pada ketinggian 11,277.6 meter  kira-kira 10 jam selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow, memaksa juruterbang mengisytiharkan kecemasan perubatan dan melencongkan  pesawat Boeing 777-300ER ke Bangkok.

Setakat pukul 7.50 malam, 18 individu telah dimasukkan ke hospital, 12 sedang dirawat di hospital manakala penumpang dan kru yang lain sedang diperiksa dan diberi rawatan, jika perlu, di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi.

“SIA sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa yang berkaitan dalam penyiasatan kejadian ini,” katanya.

Syarikat penerbangan itu berkata ia kini bekerjasama dengan rakan sekerja dan pihak berkuasa tempatan di Thailand untuk menyediakan bantuan yang diperlukan dan pasukan SIA sedang dalam perjalanan ke Bangkok untuk memberikan sebarang pertolongan tambahan yang diperlukan.

Saudara-mara penumpang yang ingin mendapatkan maklumat boleh menghubungi talian penting Singapore Airlines di +65 6542 3311 (Singapura), 1800-845-313 (Australia), dan 080-0066-8194 (United Kingdom).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan