EKONOMI

MALAYSIA BAKAL DAPAT MANFAAT DARIPADA BRICS- PAKAR EKONOMI

18/06/2024 07:42 PM

Oleh Karina Imran

KUALA LUMPUR, 18 Jun (Bernama) -- Pakar-pakar ekonomi berpendapat penyertaan ke dalam kumpulan BRICS akan membantu Malaysia mempelbagaikan lagi perdagangan dan pelaburannya, selain meningkatkan akses negara kepada pasaran yang lebih luas.

Ditubuhkan pada 2009 sebagai platform kerjasama untuk ekonomi sedang pesat membangun, BRICS pada asalnya terdiri daripada Brazil, Rusia, India dan China.

Afrika Selatan menyertai BRICS pada 2010, manakala Iran, Mesir, Ethiopia dan Emiriyah Arab Bersatu turut serta pada Januari tahun ini.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berpendapat penyertaan ke dalam BRICS akan membantu negara mengurangkan pergantungan ke atas dolar US untuk penyelesaian perdagangan.

“Ia secara berkesan akan melindungi negara serta rantau ini daripada perubahan dalam dasar monetari dan turun naik mata wang Amerika Syarikat (AS), berpotensi meningkatkan kebolehramalan dalam pasaran mata wang termasuk mengurangkan kos urus niaga untuk pengeksport dan pengimport," katanya kepada Bernama. 

Namun begitu, kerajaan perlu melakukan analisis kos dan faedah (CBA) memandangkan keadaan semasa yang tidak menentu terutamanya dalam bidang berkaitan geopolitik di kalangan negara-negara besar.

Dalam temu bual dengan media China, Guancha yang diterbitkan pada Isnin, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia telah menetapkan sasaran untuk menyertai kumpulan BRICS dan akan memulakan proses penyertaan tidak lama lagi.

Pengumuman ini dibuat hanya beberapa minggu selepas Thailand menyatakan minat bagi menyertai blok berkenaan.

Felo Persatuan Pemikir Persatuan Kewangan Asia, Mohd Sedek Jantan melihat keputusan Malaysia sebagai langkah positif yang akan melebarkan pengaruh ekonomi dan politik globalnya.

Menurut Deklarasi Johannesburg, penyertaan ke dalam BRICS akan menggalakkan kerjasama, perpaduan serta perkongsian strategik dalam 'Selatan Global,' memupuk komitmen terhadap multilateralisme inklusif, katanya.

“Menyertai BRICS akan membolehkan negara anggota menyelaraskan pendirian mereka dalam isu-isu seperti pembangunan infrastruktur (mengikut model Inisiatif Jalur dan Laluan), polisi ekonomi termasuk dasar iklim. 

“Kemasukan anggota baharu telah memberikan BRICS+ lebih legitimasi selain meningkatkan kedudukannya dalam Kumpulan 20 (G20), walaupun disebalik, integrasi ekonominya yang agak terhad, kepentingan ekonomi yang berbeza dan kurangnya perpaduan geopolitik di kalangan ahlinya," kata Mohd Sedek.

Beliau menjelaskan berdasarkan komposisi semasa BRICS+, kumpulan itu membawa beban demografi dan ekonomi yang agak ketara, mewakili hampir separuh penduduk dunia berbanding bawah 10 peratus bagi Kumpulan Tujuh (G7). 

Daripada mewujudkan mata wang yang sama, BRICS+ mahu mengurangkan pergantungan ke atas dolar US dengan melonjakkan penggunaan mata wang tempatan dalam invois perdagangan dan aliran kewangan.

Sementara itu, pakar ekonomi terkemuka, Prof Geoffrey Williams menekankan kepentingan strategik Malaysia dalam mengekalkan portfolio yang pelbagai dalam perdagangan dan pelaburan.

Beliau juga mengemukakan fleksibiliti yang disediakan BRICS, yang akan membolehkan Malaysia mengemudi isu geopolitik sambil mengekalkan pendirian yang tidak memihak serta bebas.

"Imbangan kuasa ekonomi sedang beralih, justeru Malaysia, sebagai sebuah ekonomi terbuka yang kecil, mesti bertindak balas secara positif.

"Terdapat peluang perdagangan serta pelaburan dengan BRICS dan ini akan mewujudkan permintaan terhadap ringgit termasuk mengukuhkan mata wang ringgit dari semasa ke semasa," tambah beliau.

-- BERNAMA 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan