EKONOMI

Kerjasama Malaysia-uk Penting Untuk Buka Ruang Gerak Kemajuan Ekonomi Digital - Gobind

22/05/2024 01:18 PM

SUBANG JAYA, 22 Mei  (Bernama) -- Malaysia menghargai kerjasama strategiknya dengan United Kingdom (UK), terutamanya dalam inisiatif digital kerana ia berpotensi membuka ruang untuk membangunkan lagi ekonomi digital kedua-dua negara.

Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata ketika dunia berada di puncak kemajuan teknologi yang belum pernah berlaku sebelum ini, Malaysia perlu memanfaatkan peluang yang ada melalui kerjasama untuk berubah menjadi ekonomi berasaskan digital bernilai tinggi.

Beliau juga berkata UK bakal meratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) yang dijangka berkuat kuasa menjelang akhir 2024.

"Ini menawarkan peluang keemasan bagi kedua-dua negara, khususnya bagi UK untuk mendapatkan akses ke pasaran ASEAN yang dinamik," katanya pada Anugerah Kecemerlangan Perniagaan Ke-5 Dewan Perniagaan British Malaysia (BMCC) 2024 di sini, malam tadi.

Gobind berkata mesyuarat Jawatankuasa Bersama Ekonomi dan Perdagangan (JETCO) akan datang yang dijadualkan pada akhir Jun antara menteri perdagangan kedua-dua negara dan misi perdagangan mereka sempena Minggu Teknologi London 2024 juga berfungsi sebagai platform penting untuk mencipta peluang baharu perniagaan digital.

Menurutnya, perkongsian berterusan antara Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan BMCC boleh menjadi pemacu utama dalam memajukan hubungan perdagangan dua hala kedua-dua negara dalam bidang digital.

Sejak sesi meja bulat pada Februari lepas, terdapat kemajuan kukuh yang dicapai bagi tindakan yang telah dikenal pasti.

Ini termasuk perkongsian antara MDEC, BMCC dan Suruhanjaya Tinggi Britain bagi misi perdagangan Malaysia sempena Minggu Teknologi London 2024 pada Jun.

Selain itu sokongan juga diberikan kepada ahli-ahli BMCC berhubung pertanyaan berkaitan dengan status Malaysia Digital (MD) pelbagai syarikat.

Beliau berkata kerjasama antara BMCC dan rakan industrinya juga dimulakan untuk meneroka inisiatif perkongsian awam-swasta bagi membina kesedaran dan potensi menyepadukan pendigitalan ke dalam amalan kerja perkhidmatan awam.

"Kita melihat UK sebagai rakan utama dalam usaha kolaboratif dan sinergi ini.

"Kita juga optimis kerjasama bersama-sama BMCC ini akan membuahkan hasil pada masa depan, menekankan matlamat bersama untuk membina ekosistem digital yang berdaya tahan, inklusif dan berpandangan jauh, seterusnya meningkatkan kualiti hidup rakyat," katanya.

Antara tempoh 2023 hingga suku pertama 2024 menyaksikan penambahan 18 syarikat dari UK  menyertai syarikat MD, menjadikan jumlah keseluruhannya kepada 70 syarikat setakat ini.

Ini termasuk pelaburan bagi ActivPayroll Malaysia Sdn Bhd sebanyak RM153 juta, Deloitte Regional Services Centre Sdn Bhd (RM407.8 juta) dan Smith and Nephew Services Sdn Bhd (RM49.6 juta).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan