SUKAN

Masters Malaysia 2024: Sorakan Penyokong Bakar Semangat Tang Jie-ee Wei

22/05/2024 03:15 PM

KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Sorakan penyokong yang membanjiri Axiata Arena seawal 10 pagi ini, menyemarakkan semangat beregu campuran negara Cheng Tang Jie-Toh Ee Wei yang turun dalam aksi pusingan pertama kejohanan badminton Masters Malaysia 2024 hari ini.

Gandingan yang menduduki ranking kesembilan dunia itu menang mudah, mengatasi pasangan Thailand Pakkapon Teeraratsakul-Phataimas Muenwong 21-12, 21-14, sekali gus menebus kekecewaan edisi lepas, apabila mereka tersingkir seawal pusingan pertama.

Menurut Ee Wei, beliau terharu apabila melihat kehadiran penyokong walaupun hari ini merupakan cuti umum sempena Hari Wesak serta cuaca hujan yang kebiasaannya digunakan oleh orang ramai untuk menghabiskan masa bersama keluarga di rumah.

“Walaupun hujan dan cuti umum (sempena Hari Wesak), ramai yang hadir pagi-pagi untuk memberikan sokongan kepada kami, buat kami lebih bermotivasi. Oleh kerana perlawanan pertama, kami tak fikir banyak, namun gembira kami dapat meloloskan diri kali ini.

“Ini kali pertama kami layak ke Olimpik. Jadi kena hadapi setiap kejohanan dengan serius... mahu menang sebanyak yang boleh,” kata Ee Wei. 

Menanti pasangan negara di pusingan kedua ialah wakil India, Sumeeth Reddy-Sikki Reddy yang mengetepikan lawan mereka dari Hong Kong Lui Chun Wai-Fu Chi Yan 21-15, 12-21, 21-17.

Mengenai perlawanan esok, Tang Jie berkata mereka akan membuat perancangan strategi terbaik selepas menganalisis permainan beregu di ranking ke-53 itu.

Pasangan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing merupakan wakil terakhir Malaysia muncul juara kejohanan Masters Malaysia pada 2017.

Sementara itu, perseorangan wanita negara K. Letshana tewas kepada pilihan utama kejohanan Han Yue dari China 14-21, 9-21. Wakil China itu akan berdepan Hung Yi Ting dari Taiwan yang terdahulu menyingkirkan wakil Belgium, Lianne Tan 21-11, 21-13.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan