SUKAN

Pembedahan Keempat Faisal Halim Tunjuk Hasil Positif - Shahril

22/05/2024 06:24 PM

SHAH ALAM, 22 Mei (Bernama) -- Pembedahan keempat yang dijalani pemain sayap sensasi Harimau Malaya Muhammad Faisal Abdul Halim atau lebih dikenali sebagai Faisal Halim menunjukkan perkembangan positif, menurut Ahli Lembaga Pengarah Selangor FC (SFC) Datuk Seri Shahril Mokhtar. 

Shahril berkata Faisal yang menjalani pembedahan split skin grafting pada Isnin lepas akan diteliti pakar untuk menentukan sama ada pemain digelar "Mickey" itu dibenarkan pulang ke rumah atau sebaliknya. 

"Untuk pembedahan ini perkembangan sangat baik, biasa kalau buat skin grafting (cantuman kulit) dalam 70 peratus dapat cover kawasan luka dah cukup bagus, tapi keajaiban untuk Faisal dapat cover seluruh tempat yang terluka dan cedera, dan luka nampak kering dan cantik. 

"Pakar akan buat pemerhatian bukan sahaja di kawasan luka tapi juga di bahagian donor part iaitu kedua-dua belah paha Faisal, untuk pastikan beliau mudah bergerak sebelum keluar," katanya kepada pemberita pada sidang media di sebuah hospital swasta yang merawat Faisal di sini hari ini. 

Beliau berkata pembedahan split skin grafting merupakan prosedur mengambil kulit di beberapa bahagian badan untuk ditampal di kawasan luka yang disebabkan oleh asid. 

Bagaimanapun, Shahril berkata pasukan perubatan yang merawat Faisal begitu optimis pemain berusia 26 tahun itu dibenarkan pulang ke rumah dalam tempoh dua atau tiga hari lagi, selain perlu mengambil masa tiga hingga enam bulan bagi proses pemulihan sebelum kembali beraksi. 

Sementara itu, Shahril berkata Ketua Perubatan Sukan Selangor FC (SFC) Dr Muhammad Hazwan Khair akan bekerjasama dengan beberapa ahli fisioterapi dan Institut Sukan Negara (ISN) untuk merangka program buat Faisal selepas beliau dibenarkan keluar hospital. 

“Dr Hazwan akan bekerja rapat dengan pihak ISN dan juga para fisioterapi untuk melihat program rehabilitasi buat Faisal bagi masa dua atau tiga bulan, Dr Hazwan dan MSN sedang merangka program untuk Faisal yang perlu dilalui termasuk gim, pembinaan otot dan sebagainya,” katanya.

Pada 5 Mei, Faisal mengalami kecederaan melecur tahap empat pada beberapa bahagian anggota badan selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya, yang membataskan pergerakan dan percakapannya.

Pemain yang memenangi anugerah gol terbaik pada Piala Asia 2023 di Qatar pada Januari itu kemudian perlu menjalani empat pembedahan bagi proses rawatan dan pemulihan, selain dijangka tidak dapat beraksi selama lima atau enam bulan, sekali gus terlepas dua perlawanan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 menentang Kyrgyzstan dan Taiwan, bulan depan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan