DUNIA

"MAKKAH ROUTE INITIATIVE" PERMUDAH URUSAN BAGASI, PERJALANAN JEMAAH HAJI MALAYSIA

24/05/2024 12:41 AM

KUALA LUMPUR, 23 Mei (Bernama-SPA) -- Jemaah haji Malaysia mendapat manfaat besar daripada “Makkah Route Initiative” yang kini memasuki tahun keenam, yang menyelaraskan pengalaman perjalanan mereka dengan memastikan perkhidmatan pengurusan dan penandaan bagasi yang lancar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Perkhidmatan itu menghapuskan keperluan menunggu untuk menuntut bagasi di Arab Saudi, membolehkan pemindahan terus bagasi ke penginapan di Makkah dan Madinah, lapor Agensi Akhbar Saudi (SPA). 

Proses penandaan bagasi, yang diselia oleh Kementerian Haji dan Umrah, bermula di KLIA.

Pasukan khusus akan mengurus dan melabelkan bagasi dengan butiran penerbangan, maklumat peribadi dan butiran penginapan.

Jemaah juga menerima kad yang bersesuaian dan label pasport untuk memudahkan pengenalan. Setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz di Jeddah dan Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad bin Abdulaziz di Madinah, jemaah dipindahkan ke bas khusus, manakala bagasi mereka dihantar secara berasingan oleh badan-badan yang bekerjasama, memastikan setiap bagasi jemaah sampai ke tempat penginapan dengan cekap.

Dilaksanakan oleh Kementerian Dalam Negeri dengan kerjasama rakan kerajaan, Makkah Route adalah sebahagian daripada Program Pengalaman Jemaah di bawah Wawasan Saudi 2030.

Program ini bertujuan untuk meningkatkan perjalanan haji dan telah diterima baik oleh jemaah Malaysia, mencerminkan hubungan dua hala yang kukuh antara Malaysia dan Arab Saudi.

Sejak perintisnya pada 2017, Makkah Route telah mempermudah perjalanan ribuan jemaah Malaysia, dengan 11,000 telah tiba di Tanah Suci tahun ini.

Musim Haji tahun ini, bermula dari 9 Mei hingga 9 Jun, merangkumi 100 penerbangan sewa khas oleh Malaysia Airlines dan Saudia Airlines, yang menunjukkan kecekapan logistik dan dedikasi untuk kesejahteraan jemaah Malaysia.

-- BERNAMA-SPA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan