AM

Media Sarawak Sudah Meniti Jalan Penuh Onak Dan Duri - Wartawan Veteran

24/05/2024 08:15 PM

Oleh Ammar Shafiq Hamzah

KUCHING, 24 Mei (Bernama) -- Industri media di Sarawak telah meniti jalan yang penuh onak dan duri dalam mencapai kemajuan signifikan dari tahun 80-an dan 90-an, menurut wartawan veteran Toman Mamora.

Bekas Pengarang Kumpulan Sarawak Press itu berkata ketika  itu, medialah yang bertanggungjawab mengumpul dan menganalisis berita yang kadangkala memakan masa dan membosankan, terutamanya di negeri yang luas dan mempunyai muka bumi mencabar seperti Sarawak.

“Laporan berita di luar kawasan dihantar ke bilik berita melalui faks dan kami sering menggunakan gambar dan cerita dari Bernama (Pertubuhan Berita Nasional Malaysia) dan Jabatan Penerangan. Meskipun mengharungi pelbagai rintangan, kami berjaya menepati masanya dan mematuhi tarikh akhir berita yang perlu disiarkan.

"Bagi mengatasi masalah perhubungan dan kebolehcapaian, kami melantik beberapa wartawan sambilan untuk menyediakan laporan tentang masyarakat setempat dengan kebanyakan mereka adalah guru," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata demikian dalam temu bual sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024, yang akan berlangsung di sini, mulai 25 hingga 27 Mei.

Toman yang sudah berkecimpung lebih 30 tahun dalam dunia kewartawanan berkata kerjasama di lapangan antara wartawan sejak dari awal juga banyak membantu.

“Semangat kerjasama ini sentiasa membantu kerana kita sering berkongsi bahan berita mengenai sesuatu peristiwa ketika kita kekurangan kakitangan bagi melaporkan kejadian di kawasan terpencil kerana masalah pengangkutan yang memerlukan mereka menaiki bot ekspres atau dalam kes terpencil, hanya mereka yang bertuah dapat menaiki helikopter,” katanya.

Beliau berkata semua ini kini menjadi sejarah kerana kemudahan Internet di bilik berita telah menjadikan pengumpulan dan pemprosesan berita lebih cepat dan cekap.

Dengan dilengkapi dengan komputer riba, tablet atau telefon bimbit, wartawan boleh menghantar berita dan gambar dari lokasi tanpa perlu tergesa-gesa ke tempat berdekatan yang mempunyai kemudahan komunikasi untuk menghantar bahan berita itu, tambahnya.

Sementara itu, mengulas mengenai  HAWANA 2024, Toman berkata ia perlu diadakan secara besar-besaran bagi menghargai peranan dan sumbangan semua pengamal media termasuk wartawan, editor, penerbit TV dan guru dalam bidang komunikasi.

Beliau berkata industri media juga harus mengenang dan menghargai jasa wartawan veteran sama ada yang telah bersara atau meninggal dunia selain mereka yang meninggalkan kesan penting dalam sejarah industri media Malaysia.

“Walaupun kami akan mendapat manfaat daripada perbincangan beberapa ahli akademik barat yang dijemput pada persidangan itu, namun adalah lebih baik jika kita dapat menjemput beberapa ahli akademik media dari universiti tempatan untuk berkongsi pentas dan bercakap tentang pengalaman mereka dan harapan mereka untuk masa depan media Malaysia,” katanya.

HAWANA 2024 bertemakan “Etika Teras Kewartawanan Mapan”, merupakan perhimpunan terbesar wartawan Malaysia dan acara kemuncak sambutan itu akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 27 Mei.

Ia dianjurkan Kementerian Komunikasi dengan kerjasama kerajaan Sarawak, manakala Bernama selaku agensi pelaksana.

HAWANA pertama kali diadakan di ibu negara pada 2018, diikuti dengan sambutan berikutnya di Melaka (2022) dan Perak (2023).

Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional sempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan