SUKAN

Piala Asia: Malaysia Mara Ke Final, Tempah Slot Ke Piala Dunia 2025

25/05/2024 12:08 AM

KUALA LUMPUR, 24 Mei (Bernama) -- Skuad hoki dalam dewan lelaki kebangsaan mara ke final Piala Asia 2024 selepas mengikat Iran 3-3 pada aksi Kumpulan C malam ini.

Keputusan itu menyaksikan Malaysia memperoleh lima mata keseluruhan dan menduduki tangga kedua Kumpulan C di belakang Iran yang mengumpul tujuh mata, sekali gus menempah slot ke Piala Dunia Hoki Dalam Dewan 2025 di Porec, Croatia pada 3 hingga 9 Feb tahun depan.

Aksi Kumpulan C di Kompleks Sukan Taldykorgan, Kazakhstan malam ini menyaksikan Iran membuka jaringan menerusi pukulan sudut penalti Shahrokhi Mahdi seawal minit ke-10 sebelum Mirzakhani Amirmahdi menggandakan kedudukan menerusi jaringan padang enam minit kemudian.  

Malaysia bangkit merapatkan jurang apabila Abdul Khaliq Hamirin membolosi gawang pasukan lawan pada minit ke-21, namun Shahrokhi sekali lagi membuat jaringan pukulan sudut penalti untuk Iran mendahului 3-1 pada minit ke-27. 

Seminit kemudian pertahanan negara Muhammad Aminuddin Mohd Zaid menghadiahkan jaringan kedua Malaysia sebelum Abdul Khaliq menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-30. 

Terdahulu, Malaysia melepasi cabaran pertama dalam pusingan kedua Piala Asia 2024 dengan  menewaskan Thailand 5-2 semalam.

Pada pusingan pertama dalam Kumpulan B, skuad negara membelasah Oman 10-2 pada Selasa lepas, diikuti seri 3-3 dengan tuan rumah Kazakhstan dan mengesahkan kemaraan ke pusingan kedua dengan mengatasi juara Sukan SEA 2023, Indonesia, 5-4 pada Rabu.

Skuad kendalian Mohd Rodzhanizam Mat Radzi itu sekali lagi dijadual bertemu Iran pada aksi final yang akan berlangsung pada 5 petang esok (waktu Malaysia). 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan