AM

UNIMAS MAHU LAHIR SISWAZAH BERKUALITI DALAM DUNIA KEWARTAWANAN

25/05/2024 12:44 PM

KUCHING, 25 Mei (Bernama) -- Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) bersedia mengoptimumkan sumber sedia ada bagi menggalas tanggungjawab melahirkan siswazah berkualiti dalam dunia kewartawanan khususnya di Sarawak.

Naib Canselor UNIMAS Prof Dr Ahmad Hata Rasit berkata universiti itu mahu menjadi satu daripada penggerak komponen dalam menawarkan serta melahirkan lulusan yang terlatih dalam bidang komunikasi di negeri ini. 

"UNIMAS sememangnya komited dalam mempersiapsiagakan siswazah untuk memiliki kemahiran yang kompeten bagi diimplementasikan dalam dunia pekerjaan sebenar kelak," katanya ketika berucap pada Jelajah HAWANA 2024 Bersama Siswa di sini hari ini. 

Hadir dalam program berkenaan ialah Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) Datuk Abdullah Saidol. 

Turut hadir Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj. 

Dalam pada itu, Ahmad Hata berkata UNIMAS turut berbesar hati kerana menjadi antara destinasi yang disinggahi serta dimasukkan dalam atur cara sempena HAWANA dan lebih manis apabila dipilih sebagai destinasi pertama program Jelajah HAWANA 2024 Bersama Siswa.

Menurutnya pengisian dalam HAWANA 2024 dilihat sebagai peluang kepada UNIMAS bagi memperkasakan hubungan kerjasama bersama pihak media dalam aspek kepakaran dan diteruskan dengan penyelidikan bersama.

Sementara itu, Nur-ul Afida berkata UNIMAS menjadi satu daripada enam universiti terpilih menerima sumbangan sebuah komputer berkeupayaan tinggi dan televisyen bersaiz besar bagi kegunaan Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasinya.  

“Program jelajah ini diadakan di enam zon iaitu Sabah, Sarawak, Utara, Timur, Selatan serta Tengah. Beberapa universiti dipilih menjadi tuan rumah bagi siri jelajah ini dan diharapkan sumbangan peralatan ini dapat dimanfaatkan oleh pelajar semasa sesi pembelajaran mereka,” katanya. 

Program Jelajah HAWANA 2024 Bersama Siswa merupakan antara pengisian HAWANA 2024, dengan penglibatan 250 mahasiswa dari UNIMAS, Swinburne University of Technology Sarawak dan Kolej SEGi Sarawak.

Ia bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar di institusi pengajian tinggi terpilih tentang dunia media melalui sesi perkongsian ilmu dan pengalaman daripada pengamal media, selain menanam minat bidang kewartawanan kepada pelajar dan mengaplikasikannya dalam dunia pekerjaan.

Pada program hari ini, sesi perkongsian ilmu dan pengalaman turut diadakan dengan membincangkan topik berkenaan semak fakta oleh Editor MyCheck Malaysia dan Unit Data Journalism Bernama Sakina Mohamed dan Mobile Journalism (MoJO) oleh Wartawan Kanan Meja Digital Media Bernama Syed Iylia Hariz Al-Qadri Syed Izman selain sesi dialog bersama Menteri Komunikasi. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan