AM

PUSAT KESIHATAN PRIMA UNIMAS BEROPERASI SEPTEMBER - NANTA

13/06/2024 09:22 PM

KOTA SAMARAHAN, 13 Jun (Bernama) -- Pusat Kesihatan Prima Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dijangka mula beroperasi September tahun ini.

Pusat kesihatan itu merupakan Fasa Satu Projek Pembinaan dan Penyiapan Hospital Pengajar dan Pusat Kesihatan Prima UNIMAS yang akan menjadi hospital pengajar pertama di Sarawak dengan kos projek keseluruhan bernilai RM485.988 juta membabitkan kawasan seluas 27.37 ekar (11.08 hektar).

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata pusat terbabit akan beroperasi sebagai tempat pembelajaran bagi pelajar jurusan perubatan UNIMAS.

"Pusat ini dijangka beroperasi September tahun ini sebagai tempat pembelajaran perubatan tetapi saya difahamkan juga sebagai klinik kesihatan dan pesakit luar boleh mendapat rawatan," katanya di Majlis Penyerahan Fasa Satu projek berkenaan di sini, hari ini.

Penyerahan itu bagi membolehkan pihak  Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sebagai pemilik projek dan UNIMAS menempatkan dan melakukan pengujian semua peralatan perubatan diperlukan sebelum memulakan operasi secara rasmi.

Nanta berkata pusat itu akan mengendalikan kes kesihatan tidak kritikal dan ada kemudahan bilik X-Ray, klinik batuk, klinik mata, klinik warga, makmal perubatan serta bilik pemeriksaan kesihatan awam.

Beliau berkata Fasa Kedua pula ialah pembinaan bangunan utama Hospital Pengajar UNIMAS berkeupayaan 300 katil yang bakal menyediakan perkhidmatan pakar dan perkhidmatan kecemasan.

"Penyiapan (Fasa 2) sudah mencapai 40 peratus dan dijangka siap sepenuhnya penghujung tahun depan," katanya.

-- BERNAMA

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan