AM

Hbn2024: Mcmc Melaka Didik Masyarakat Perangi Berita Palsu

26/05/2024 12:42 PM

MELAKA, 26 Mei (Bernama) -- Dalam usaha memerangi berita palsu dan mendidik masyarakat mengenai penggunaan Internet dengan selamat, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Melaka 'turun padang' memberi penerangan sempena Karnival RIUH x Hari Belia Negara di Dataran Pahlawan, Banda Hilir di sini.

Pengarah MCMC Melaka Syed Isa Alsagoff berkata pihaknya memberi penerangan kepada pengunjung reruai agensi itu mengenai laman sesawang Sebenarnya.my yang merupakan sebuah pusat sehenti bagi rakyat Malaysia untuk menyemak sebelum berkongsi berita tidak ditentukan kesahihannya.

“Menerusi laman sesawang tersebut, pengunjung boleh mendapatkan maklumat tepat mengenai sesuatu berita yang tular dan mereka juga menentusahkan sendiri kandungan berita itu.

“Kita juga mengadakan pameran ‘Klik Dengan Bijak’ bagi mendidik masyarakat agar tidak mudah terjebak dengan penipuan dalam talian,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata MCMC Melaka juga menyediakan permainan dalam talian seperti PlayStation 5 (PS5) serta pengenalan mengenai ‘virtual reality’ kepada pengunjung terutama golongan belia.

Menurutnya, pihaknya juga memberi peluang kepada usahawan yang menggunakan perkhidmatan di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) untuk turut sama menyertai program keusahawanan sempena karnival tersebut.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching sebelum ini dilaporkan berkata program di bawah Kembara RIUH anjuran MyCreative Ventures Sdn Bhd itu akan membawakan 12 vendor yang menawarkan pelbagai barangan seni dan kreatif serta makanan sempena sambutan Hari Belia Negara.

Pengunjung juga boleh menikmati konsert secara percuma pada malam Sabtu dan Ahad melibatkan penyertaan kumpulan popular seperti Hujan, Insomniacks, Dolla, Bunga, iamNEETA dan beberapa artis indie. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan