AM

MEKANISME, TARIKH PELAKSANAAN PENYASARAN SUBSIDI DIESEL DIMAKLUM DALAM MASA TERDEKAT

26/05/2024 03:36 PM

KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) -- Mekanisme dan tarikh pelaksanaan penyasaran subsidi bahan api diesel akan dimaklumkan pada masa terdekat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Beliau berkata perkara itu akan dijelaskan oleh Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan kerana beliau sudah pun memberikan gambaran mengenainya dan kini hanya perlu tindakan susulan.

"Ada orang tanya mengapa? Bukan semua Perdana Menteri yang lakukan. Saya beri gambaran dan kerangka besar, kemudian akan ada tindakan susulan," katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Pameran Era Pasca Normal MADANI di sini, hari ini.

Dalam Perutusan Negara yang disampaikan Selasa lepas, Anwar berkata Jemaah Menteri bersetuju untuk melaksanakan penyasaran subsidi ke atas diesel, sekali gus memberi penjimatan sekitar RM4 bilion setahun kepada kerajaan.

Bagaimanapun penyasaran itu tidak melibatkan pengguna di Sabah dan Sarawak.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai calon jawatan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata calonnya sudahpun dikenal pasti.

“Sudah... kita sudah ikut prosesnya dan ia harus dapat perkenan Yang di-Pertuan Agong,” katanya sambil menambah proses pemilihan calon itu tidak memerlukan kerajaan berunding dengan Timbalan Pengerusi SPR sedia ada.

Jawatan pengerusi suruhanjaya itu kosong sejak persaraan Tan Sri Abdul Ghani Salleh pada 9 Mei lepas.

Menyentuh mengenai pelantikan Yang Dipertua Dewan Negara yang baharu bagi menggantikan Senator Datuk Mutang Tagal yang meninggal dunia pada 10 Mei lepas, Anwar berkata perkara itu akan dibincangkan esok ketika berada di Sarawak.

“Pada peringkat awal kita akan bincang dengan kepimpinan parti, kemudian bersama pimpinan (kerajaan negeri Sarawak) kerana perkhidmatan dua Yang Dipertua (sebelum ini) tamat sebelum tempoh. Jadi saya akan bincang perkara ini esok di Sarawak,” katanya.

Sementara itu, menjawab isu Latihan Ijazah Lanjutan Kepakaran atau 'parallel pathway' yang kian berlarutan, Anwar berkata perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet, Rabu ini.  

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan