AM

Jpnps, Kerajaan Perlis Anjur Nakawan Rainforest Festival

26/05/2024 05:43 PM

KANGAR, 26 Mei (Bernama) -- Jabatan Perhutanan Negeri Perlis (JPNPs) dengan kerjasama kerajaan Perlis menganjurkan program Nakawan Rainforest Festival selama tiga hari bermula 24 Mei lepas sempena sambutan Hari Hutan Antarabangsa peringkat negeri tahun ini.

Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan merasmikan kemuncak program itu di Dataran Pejabat Hutan Daerah Perlis Selatan, Kawasan Ekopelancongan Sungai Batu Pahat di sini hari ini.

Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Hadir sama Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli dan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) Datuk Dr Ching Thoo a/l Kim, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar dan Perancangan) Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia Datuk Zahari Ibrahim dan Pengarah Jabatan Perhutan Perlis Awang Shaffie Awang Ahmadni.

Mohd Shukri dalam ucapannya berkata sambutan hari hutan peringkat negeri tahun ini diadakan bersama jabatan dan agensi negeri serta Persekutuan bagi mengisi kalendar Tahun Melawat Perlis Tahun 2024-2025, menampilkan kelainan dengan membawa konsep Nakawan Rainforest Festival.

"Konsep ini diambil sempena nama banjaran Nakawan iaitu banjaran batu kapur terpanjang di Malaysia sepanjang 36 kilometer (km) yang terbentuk daripada batu kapur formasi 'Setul' yang berusia lebih 480  juta tahun.

"Pemilihan nama Nakawan amat signifikan kerana ia merupakan komponen terpenting bagi Perlis Geopark yang telah diiktiraf sebagai Geopark Kebangsaan pada 9 Nov 2023 lalu," katanya.

Beliau berkata sebahagian besar geotapak berada di banjaran Nakawan antaranya Geotapak Bukit Ayer, Gua Kelam, Bukit Kubu dan Taman Negeri Perlis maka aspek kesedaran serta pengetahuan umum mengenai usaha pemeliharaan itu perlu dipertingkat melalui kempen kesedaran.

"Sepanjang Nakawan Rainforest Festival ini, terdapat pelbagai aktiviti menarik secara percuma antaranya penanaman pokok, Jelajah Perpaduan Kayuhan Hijau, Kem Biodiversiti, Bengkel Sayangi Hutan, Bengkel Peralatan Muzik Tradisional dan denai interpretasi serta jualan pokok ubat-ubatan," katanya.

Pada majlis perasmian itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan acara penanaman pokok iaitu spesies Merbau (Instia palembanica).

Sementara itu, JPNPs dalam kenyataan media sempena perasmian itu memaklumkan pokok merbau merupakan Pokok Kebangsaan Malaysia sebagai lambang keutuhan integriti hutan negara, hasil daripada pengurusan secara mampan serta usaha pemuliharaan khazanah biodiversiti Malaysia.

“Pokok merbau boleh dijumpai secara meluas di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak terutamanya di pinggir sungai dalam hutan tanah pamah sehingga altitud 1,000 m,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan