AM

HAWANA 2024: FAHMI UCAP SYABAS KEPADA BERNAMA

27/05/2024 05:52 PM

KUCHING, 27 Mei (Bernama) -- Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menzahirkan ucapan syabas kepada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) yang merupakan agensi pelaksana sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 atas kejayaan penganjurannya.

Beliau berkata segala persiapan sehingga perjalanan acara sepanjang tiga hari sambutan HAWANA 2024 yang bermula Sabtu lepas berjaya dilaksanakan dengan sangat baik hasil usaha dan dedikasi pasukan petugas terbabit.

“Tahniah dan terima kasih kepada rakan-rakan Bernama selaku pelaksana HAWANA 2024. Syabas kerana berjaya melaksanakannya dengan baik Encik Arul Rajoo Durar Raj (Ketua Pengarang Bernama) dan Puan Nur-ul Afida Kamaludin (Ketua Pegawai Eksekutif Bernama).

“Saya dapat melihat kesungguhan dan usaha pasukan petugas terbabit yang telah bertungkus lumus untuk memastikan kejayaan penganjuran acara ini,” katanya dalam ucapan alu-aluan pada majlis kemuncak sambutan HAWANA 2024 di sini petang ini.

Kemuncak sambutan HAWANA 2024 yang bertema 'Etika Teras Kewartawanan Mapan' dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Turut hadir Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, dua Timbalan Premier Sarawak iaitu Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian serta Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) Datuk Abdullah Saidol.

Sambutan HAWANA dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sarawak manakala Bernama adalah agensi pelaksana.

Fahmi turut merakamkan penghargaan kepada Unit Komunikasi Awam Sarawak, Persatuan Wartawan Bahagian Kuching serta kelab dan persatuan media dari seluruh negara yang hadir ke sambutan HAWANA 2024.

Mengulas mengenai HAWANA 2024, beliau berkata edisi kali ini melibatkan penyertaan mahasiswa jurusan komunikasi menerusi Jelajah HAWANA 2024 Bersama Siswa di Pustaka Negeri Sarawak pada 25 Mei lepas dari Universiti Malaysia Sarawak, Kolej SEGi dan Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak.

“Pameran sempena HAWANA diadakan mulai 25 hingga hari ini di Plaza Merdeka yang turut melibatkan pelbagai syarikat media, syabas juga kepada Kerajaan Negeri Sarawak dan UKAS kerana menganjurkan Persidangan Media Sarawak (SMEC 2024) yang membincangkan pelbagai topik menarik berkaitan industri media dan bidang kewartawanan,” katanya.

Mengenai Tabung Kasih@HAWANA yang bertujuan membantu wartawan veteran dan pengamal media yang berdepan masalah kesihatan serta kesempitan hidup, Fahmi berkata seramai 102 individu telah dijejaki dan dibantu setakat ini.

Beliau berkata usaha itu akan diteruskan bagi memastikan kebajikan pengamal media terbela termasuk cadangan kerjasama strategik Bernama sebagai agensi pengelola tabung itu dengan media lain dalam usaha membantu mereka yang memerlukan.

“In termasuk cadangan saya bagi rakan-rakan Bernama, kita usahakan sekali dengan kerjasama GKMM (Gabungan Kelab Media Malaysia), pastinya mereka mempunyai nama yang memerlukan (bantuan),” katanya.

Fahmi turut memaklumkan kementerian itu kini di peringkat akhir merealisasikan penubuhan Majlis Media Malaysia yang berperanan sebagai badan kawal selia kendiri bagi menjaga kepentingan media dan pengamalnya.

Beliau berkata kerajaan kini dalam proses menyediakan Analisis Impak Draf Rang Undang-Undang Majlis Media Malaysia kepada industri media sebelum dibentang di Parlimen pada Oktober ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan