AM

VOP AKAN DISELESAIKAN DALAM TEMPOH SEBULAN - AHMAD

16/07/2024 06:29 PM

KOTA BHARU, 16 Julai (Bernama) -- Pelaksanaan Syarat Perubahan Harga (VOP) susulan penyasaran subsidi diesel dijangka diselesaikan dalam tempoh sebulan lagi, kata Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau berkata kementeriannya telah bertemu Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Setiausaha Perbendaharaan serta Pengarah Belanjawan Negara untuk berbincang mengenai pelaksanaan VOP berkenaan.

“Pada pertemuan itu pasukan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan dan Kementerian Kerja Raya (KKR) memohon agar diberi pertimbangan mengenai VOP kepada kontrak yang dilaksanakan sebelum pengumuman penyasaran subsidi diesel. 

“Mengikut makluman juga, Kementerian Kewangan bersetuju dan akan ada perbincangan dalam masa terdekat membabitkan berapa peratus VOP yang akan diberikan kepada kontrak yang terlibat dalam projek sebelum penyasaran subsidi bahan api berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Negeri Kelantan ke-47 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata kerajaan akan berusaha untuk melaksanakan VOP dahulu berikutan kontraktor berdepan dengan kenaikan kos bahan binaan antara tujuh hingga lapan peratus berbanding memberi subsidi tambahan kepada jentera berat yang melibatkan sektor pembinaan.

“Saya ingin maklumkan subsidi diesel yang diberikan kerajaan kepada rakyat sebelum ini adalah sebanyak RM14 bilion. Sekarang kita cuma tarik RM4 bilion subsidi itu dan kita masih berikan RM10 bilion. 

“Oleh itu, kita akan berusaha untuk melaksanakan VOP ini. Kalau diberi subsidi lagi kepada jentera berat yang melibatkan sektor pembinaan penjimatan (subsidi) itu tidak akan capai RM 4 bilion,” katanya.

Ahmad berkata tidak semua bahan binaan terkesan dengan penyelarasan subsidi memandangkan sesetengah bahan binaan boleh dibawa menggunakan kenderaan yang layak mendapat ‘Fleet Card’.

Pada Sabtu lepas, kerajaan bersetuju secara dasarnya untuk melaksanakan VOP bagi membantu kontraktor yang berdepan kenaikan harga barangan binaan susulan penyasaran subsidi diesel sekali gus memastikan projek siap tepat pada masanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan