AM

TPM ZAHID MINTA PDRM LIPAT GANDA PEMANTAUAN AKTIVITI KEGANASAN

27/05/2024 05:48 PM

Daripada Muhammad Saufee Rosman

SHANGHAI, 27 Mei (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM), untuk melipatgandakan program survelan dan pemantauan terhadap maklumat dalam talian bagi menangani sebarang ancaman aktiviti keganasan.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Keselamatan Negara berkata perkara itu susulan pendedahan Pusat Serantau Asia Tenggara bagi Mencegah Keganasan (SEARCCT), yang memaklumkan terdapat kumpulan pengganas yang kini menggunakan permainan video dalam talian, bagi merekrut generasi muda menyertai gerakan mereka.

“Jangan ambil mudah (perkara berkenaan), walaupun kita tahu ia (aktiviti keganasan) sangat terkawal di Malaysia,” katanya kepada media Malaysia selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman, memorandum perjanjian serta surat niat, masing-masing antara SKS Coach Builders Sdn Bhd (SKS) dan CRRC Corporation; MARA Liner dan SKS; serta MARA Corp dan China Electrical Equipment Group, di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata beliau yakin PDRM melalui Unit Pencegahan Keganasan, Cawangan Khas, mempunyai kemampuan untuk menggiatkan pemantauan terhadap aktiviti keganasan dan seterusnya mengambil tindakan sewajarnya.

“Ia bukan mudah untuk dipantau, tetapi PDRM mempunyai kemampuan melakukan pemantauan dan tentunya ASEANAPOL (Polis ASEAN) yang wujud di Kuala Lumpur sejak saya menjadi Menteri Dalam Negeri, akan menggandakan pemantauan dan program survelan mereka.

“Kemampuan ini kita lihat sesuai dengan undang-undang POTA (Akta Pencegahan Keganasan 2015), yang dibentangkan ketika saya sebagai Menteri Dalam Negeri sebelum ini dan POTA akan digunakan sepenuhnya bagi pelaksanaan kawalan, supaya (pemantauan) dapat dilakukan dengan lebih ketat,” katanya sambil menambah, PDRM wajar menggemblengkan usaha berkenaan bersama Polis Antarabangsa (INTERPOL) supaya ia dapat diatasi secara menyeluruh.

Ahmad Zahid berkata Malaysia memiliki manual bagi melakukan ‘deradicalization’ untuk melakukan pemulihan sejak 2015 dan negara ini sangat berjaya dalam proses berkenaan.

“Malaysia juga bekerjasama dengan banyak negara yang melakukan usaha sama, selain berkongsi manual bersama banyak negara lain kerana kita memiliki pengalaman lebih luas ketika menghadapi ancaman komunis pada 1940-an hingga akhir 1960-an,” katanya.

Ahmad Zahid berkata Malaysia juga telah menjalinkan kerjasama dengan organisasi antipengganas di peringkat antarabangsa, sebagai usaha bersama menangani ancaman itu.

“Kita bersedia bekerjasama dengan semua negara yang mempunyai kemudahan latihan yang sama dan peralatan dan pengalaman bagi membanteras keganasan, kerana masalah ini tidak terhad kepada sesuatu negara sahaja, sebaliknya di seluruh dunia,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan