AM

MBKOKU DIMINTA BINCANG DENGAN INDUSTRI, TAMBAH BAIK INFRASTUKTUR UNTUK GOLONGAN OKU

27/05/2024 08:51 PM

BUTTERWORTH, 27 Mei (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) meminta Majlis Kebangsaan Bagi Orang Kurang Upaya (MBKOKU) supaya mengadakan perbincangan dengan pihak industri terutama dalam sektor perkilangan bagi menambah baik infrastruktur dan kemudahan untuk pekerja Orang Kurang Upaya (OKU).

Menteri berkenaan Datuk Seri Nancy Shukri berkata ia berikutan ketiadaan atau kekurangan fasiliti yang mesra OKU menyebabkan peluang golongan itu untuk mendapat tempat dalam sektor tersebut amat terhad.

Justeru, beliau berharap komunikasi antara pihak-pihak berkaitan dapat dilakukan segera bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil sekali gus sasaran satu peratus Dasar Penggajian OKU yang ditetapkan kerajaan sejak 2010 dapat dicapai.

“Mungkin salah satu punca (kerajaan) belum mencapai sasaran satu peratus Dasar Penggajian OKU akibat kekangan dari segi infrastuktur kerana kebanyakan bangunan adalah lama dan tidak mempunyai kemudahan untuk golongan tersebut bekerja sekali gus menyukarkan akses mereka dari satu tempat ke tempat lain. 

“Sebab itu kita minta MBKOKU untuk percepatkan lagi komunikasi dalam hal ini supaya ia dapat diambil tindakan oleh pihak yang bertanggungjawab dalam membuat penambahbaikan terhadap infrastuktur kerana masalah ini bukan hanya berlaku di satu negeri saja, tapi seluruh Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke kilang Flextronics (Penang) Sdn Bhd di sini hari ini.

Nancy turut mengharapkan sokongan daripada pihak swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk menggaji pekerja golongan OKU dan sebagai galakan kepada majikan, beliau menyatakan kerajaan memberi pelbagai insentif termasuk Potongan bagi Menggaji OKU dan Potongan Bagi Cukai Latihan yang diluluskan dan Potongan Tunggal (Khas) iaitu pengubahsuaian bangunan atau keperluan alat sokongan OKU.

Sementara itu, beliau memuji usaha pihak Flextronics (Penang) Sdn Bhd kerana menyahut saranan kerajaan untuk menggaji pekerja OKU.

Beliau berkata setakat ini bilangan OKU yang digaji telah meningkat daripada 81 orang pada 2022 kepada 136 orang tahun ini yang terdiri daripada kategori pendengaran, pembelajaran dan pelbagai.

Berdasarkan statistik yang direkodkan sehingga 30 April lepas, Nancy berkata jumlah keseluruhan OKU yang aktif adalah seramai 703,287 orang manakala OKU yang layak bekerja adalah 372,164 orang. 

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan