AM

PINDAAN AKTA KANAK-KANAK 2001 AKAN DIBENTANG TAHUN INI - NANCY

17/06/2024 06:24 PM

KUCHING, 17 Jun (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) kini dalam proses akhir membuat pindaan pada Akta Kanak-kanak 2001 dan dijangka dibentangkan di Parlimen tahun ini.

Menteri berkenaan Datuk Seri Nancy Shukri berkata selain menambah baik akta, pindaan itu juga selaras dengan penubuhan Jabatan Pembangunan Kanak-kanak yang telah dikuatkuasakan sejak 1 Sept tahun lepas.

"Pada masa ini, Jabatan Pembangunan Kanak-kanak masih di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat, jadi perlu dipinda dari segi struktur dan pembahagian tugas selain melihat kepada undang-undang yang lain dan dibawa ke Parlimen.

"Mungkin ada pembaharuan, banyak perkara yang perlu disusun atur pada tahun ini dan Jabatan Pembangunan Kanak-kanak akan berdiri di atas kaki sendiri pada 2026," katanya selepas Majlis Ibadah Korban di Surau Saidina Umar di Bandar Baru Samariang di sini hari ini.

Nancy yang juga Ahli Parlimen Santubong berkata demikian ketika diminta mengulas gesaan Ketua Wanita MCA Wong You Fong semalam agar KPWKM mengkaji semula dan mengukuhkan Akta Kanak-kanak serta perundangan yang berkaitan untuk memastikan perlindungan menyeluruh untuk kanak-kanak di bawah umur.

Beliau berkata pindaan terbabit dibuat bukan atas gesaan mana-mana pihak, namun disebabkan banyak kejadian berlaku melibatkan kanak-kanak, pihaknya perlu menambah peraturan yang menyeluruh termasuk taska.

"Perkara ini dalam proses draf, pada masa yang sama apabila berlaku sesuatu menyebabkan kami terpaksa menambahkan lagi undang-undang pindaan itu," katanya.

Jabatan Pembangunan Kanak-kanak ditubuhkan untuk mendapatkan penyelesaian terbaik dalam menangani segera isu pengabaian dan penderaan kanak-kanak yang semakin meruncing berlandaskan kepada lima teras utama iaitu pencegahan, pembangunan, perlindungan, pemulihan dan pengintegrasian ke dalam masyarakat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan