AM

PROGRAM MADANI RAKYAT ZON UTARA: PULAU PINANG BELANJA RM1.97 JUTA, JIMAT RM22,836

28/05/2024 01:12 PM

GEORGE TOWN, 28 Mei (Bernama) -- Kerajaan Pulau Pinang membelanjakan kos keseluruhan bagi Program MADANI Rakyat 2024 Zon Utara pada 3 hingga 5 Mei lepas sebanyak RM1.97 juta dengan penjimatan kira-kira RM22,836. 

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata jumlah siling peruntukan bagi pelaksanaan program itu ialah  RM3.2 juta yang menggunakan peruntukan kerajaan negeri selaku tuan rumah melalui perkongsian kos bersama Kementerian Pengangkutan (MOT) sebagai kementerian peneraju. 

Sehubungan itu, beliau memaklumkan Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri membentangkan dan meluluskan pelaksanaan program berkenaan dengan siling peruntukan RM2 juta.

“Perbelanjaan keseluruhan yang dikongsi bersama oleh kerajaan negeri dan MOT sebanyak RM3.70 juta manakala terdapat kos asing yang ditanggung oleh kerajaan negeri bagi membiayai aktiviti atau program seperti aktiviti sukan dan forum agama sebanyak RM127,004.48,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Air Putih) mengenai kos Program MADANI Rakyat 2024 Zon Utara di Tapak Pesta Sungai Nibong di sini dan kos yang ditanggung oleh Pulau Pinang serta nama syarikat yang diberikan kontrak pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini hari ini.

Chow (PH-Padang Kota) berkata Chilli Hotshoes Asia Sdn Bhd merupakan syarikat yang diberikan kontrak bagi program  itu dan pemilihan syarikat berkenaan dibuat selaras dengan tatacara kewangan perolehan berkaitan selepas empat syarikat melaksanakan pembentangan masing-masing

Menjawab soalan tambahan Lim mengenai jumlah kehadiran pengunjung untuk program sepanjang tiga hari itu, Chow memaklumkan Program MADANI Rakyat 2024 Zon Utara mencatatkan kehadiran lebih 285,000 pengunjung, mengatasi sasaran awal 200,000 pengunjung.

Beliau berkata angka itu yang tertinggi berbanding program yang dilaksanakan di zon lain sebelum ini.

 Program MADANI Rakyat 2024 Zon Utara yang menyediakan 196 perkhidmatan kementerian dan agensi diadakan bersekali dengan Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2024 yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Program itu menjadi wadah untuk masyarakat mendapatkan perkhidmatan secara terus daripada kementerian dan agensi di peringkat kerajaan Persekutuan dan negeri di samping memberi peluang kepada masyarakat umum mengemukakan pandangan serta cadangan penambahbaikan mutu perkhidmatan kerajaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan