AM

KONSERT DOLLA 'RE:BIRTH THE EXPERIENCE' OGOS INI

28/05/2024 07:45 PM

KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) -- Setelah lebih empat tahun mencipta nama, Kumpulan Dolla yang dianggotai oleh Tabby, Sabronzo dan Angel mengumumkan bakal mengadakan sebuah konsert pada 3 Ogos ini.

Dibawakan oleh Hitman Solutions, konsert 'Dolla Re:Birth The Experience' itu akan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur bagi menampilkan sisi matang kumpulan wanita popular tersebut.

Angel berkata konsert sulungnya itu bakal menyaksikan era baharu Dolla dengan corak persembahan berbeza, selain menjanjikan kepuasan buat peminat yang hadir.

"Konsert Dolla ini seperti kelahiran semula (kumpulan) dan menonjolkan sisi matang kami. Kami telah mulakan persiapan, kini sedang menyediakan susunan lagu Dolla yang baharu dan segar untuk konsert itu. 

"Sudah tentu persembahan yang tidak pernah dilihat oleh sesiapapun sebelum ini serta akan menjadi pengalaman penuh emosi dan istimewa untuk semua peminat Dolla," katanya dalam sidang media konsert tersebut di Planetarium Negara di sini, baru-baru ini.

Tabby dan Sabronzo juga berharap dapat memberikan persembahan terbaik pada konsert itu serta akan memastikan penyampaian yang lebih segar.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Hitman Solutions Rohit Rampal berkata konsert itu akan menjadi medan bagi membolehkan Dolla mempamerkan semua yang telah kumpulan itu pelajari sejak kemunculan mereka.

"Kami sentiasa bersemangat untuk menonjolkan bakat tempatan, kami mahu memberikan kumpulan kelahiran Malaysia ini kesempatan meraikan kejayaan mereka. Dolla telah bekerja keras selama ini, mereka berhak merealisasikan cita-cita besar mereka," katanya.

Antara lagu-lagu popular kumpulan tersebut adalah ‘Damelo’, ‘Dolla Make You Wanna’, ‘Bad’ dan ‘Look At This’.

Tiket konsert itu boleh dibeli di laman sesawang www.hitmanlive.com mulai 30 Mei ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan