AM

UTM LANCAR PEJABAT MJL, PERKUKUH HUBUNGAN DENGAN JUC

29/05/2024 10:05 AM

KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) -- Universiti Teknologi Malaysia (UTM) hari ini mengumumkan pelancaran pejabat Perhubungan Malaysia-Jepun (MJL) semasa Ekspo Perindustrian dan Inovasi Malaysia-Jepun 2024 (MJIIX2024) yang merupakan pencapaian penting dalam usaha memperkukuh kerjasama dalam bidang akademik serta perindustrian kedua-dua negara.

UTM dalam kenyataan hari ini memaklumkan pejabat MJL di universiti itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud dan inisiatif tersebut adalah fasa ketiga projek pembinaan Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT UTM) yang bermula pada Julai 2023 hingga 2028 selepas fasa pertama (2010-2017) serta fasa kedua (2018-April 2023).

Pejabat MJL juga menyasarkan untuk menjadikan MJIIT UTM sebagai Hab Perindustrian dan Pendidikan Jepun terkemuka antara ASEAN dan Jepun yang berfungsi sebagai platform mampan bagi kerjasama dengan universiti serta industri di Negara Matahari Terbit. 

Menerusi kenyataan sama, Mustapha memaklumkan pejabat itu akan memudahkan kerjasama yang diperluas antara pihak industi dan universiti Jepun dalam bidang pendidikan serta penyelidikan.

"Inisiatif ini termasuk kerjasama dalam bidang akademik dan penyelidikan, program pembangunan bakat serta seminar, bengkel dan persidangan yang dianjurkan bersama,” katanya.

Menurut kenyataan itu, pejabat MJL juga akan memperkukuh hubungan dengan Konsortium Universiti Jepun (JUC) serta universiti antarabangsa sekali gus meningkatkan program dalam bidang baharu muncul seperti Pencegahan dan Kesiapsiagaan Bencana serta Keterjaminan Makanan, Industri Halal dan Teknologi Hijau.

Melalui program pertukaran petugas dengan rakan kongsi JUC, pelantikan silang dan pelantikan pasca kedoktoran, pejabat MJL menyasarkan untuk memastikan kerjasama mampan ke arah memacu inovasi, mempertingkat program pendidikan serta membangunkan penyelidikan termaju yang mampu menyumbang kepada pertumbuhan dan pembanguan di Malaysia mahupun Jepun.

Sementara itu, Naib Canselor UTM Profesor Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail berkata pejabat MJL akan membolehkan MJIIT menjadi makmal dan institusi ujian terkemuka yang menawarkan peluang kepada penyelidikan serta pertukaran ilmu yang menonjol dalam bidang kejuruteraan dan sains.

"Makmal khas itu akan berfungsi sebagai Pusat Penyelidikan Terbuka Antarabangsa di rantau ASEAN sekali gus mempromosi keupayaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) di Malaysia, menggalakkan penyelidikan bersama selain menyediakan sains dan teknologi termaju kepada negara ASEAN yang lain," katanya.

Beliau juga berkata makmal MJIIT di UTM ketika ini dilengkapi dengan teknologi termaju di Malaysia.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan