AM

ITBM, UTM JALIN KERJASAMA BANGUN SISTEM TERJEMAHAN DIKUASAKAN AI

28/05/2024 09:35 PM

KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) -- Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) hari ini, memeterai memorandum persefahaman (MoU), bagi membangunkan sistem terjemahan pintar dikuasakan kecerdasan buatan (AI).

ITBM diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Sakri Abdullah, manakala mewakili UTM ialah Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi Prof Dr Rosli Md Illias, pada majlis pemeteraian di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini.

Turut hadir menyaksikan pemeteraian MoU bagi membangunkan mesin terjemahan pintar yang dijenamakan sebagai Al Powered Language Translation System (MyTranslate) itu ialah Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Zambry pada sidang media, menyifatkan kerjasama itu sebagai perkembangan yang sangat baik dan satu daripada contoh untuk kekal selari dengan perkembangan teknologi AI, dalam semua aspek.

Beliau berkata MyTranslate juga membolehkan bahan rujukan dalam pelbagai disiplin, disimpan dalam satu tempat bagi kemudahan akademik pada masa hadapan.

“Apa yang kita dapati sekarang ini ialah banyak karya buku yang ditulis dalam pelbagai disiplin termasuk istilah teknikal, tetapi tidak diletakkan dalam satu bentuk rujukan khas.

“Jadi dengan usaha ini, bermakna semua istilah yang berkaitan dengan pelbagai disiplin teknikal seperti perundangan dan sains, boleh dirujuk oleh mana-mana pihak dengan lebih mudah,” katanya.

Berdasarkan siaran media, MoU itu antara lain menggariskan kerjasama yang menggabungkan kepakaran UTM, yang memiliki fakulti AI dan ITBM dalam pemilikan data penterjemahan untuk membangunkan MyTranslate, selain menyaksikan pejabat satelit UTM-ITBM akan ditubuhkan di UTM Johor Bahru, Johor.

Sakri menerusi siaran media sama berkata terdapat keperluan untuk satu sistem terjemahan yang mengangkat Bahasa Melayu dan ITBM sebagai peneraju utama industri terjemahan di Malaysia, mengambil tanggungjawab untuk memastikan Bahasa Kebangsaan itu digunakan dengan tepat dan betul.

“ITBM mengakui dan menghargai kewujudan sistem terjemahan lain yang sedia ada seperti Google Translate dan Bing Micosoft Translator.

“Namun, tanggungjawab untuk mengangkat Bahasa Melayu dan memastikan penggunaannya yang betul dan tepat, tidak dapat direalisasikan melalui penggunaan sistem ini. Maka, ada keperluan satu sistem serupa diwujudkan dalam konteks Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan