AM

Mot Muktamad Kajian, Hala Tuju Pembinaan Art Ogos Ini

28/05/2024 11:48 PM

ISKANDAR PUTERI, 28 Mei (Bernama) -- Kementerian Pengangkutan (MOT) akan memuktamadkan kajian dan hala tuju pembinaan sistem Aliran Transit Automasi (ART) bertingkat yang dicadang untuk dibangunkan di Johor Bahru pada Ogos tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata justeru itu kerajaan negeri berharap agar MOT dapat menyegerakan keputusan pembinaan projek tersebut, yang antaranya dapat membantu menyuraikan trafik sekali gus menyokong projek Rapid Transit System Link (RTS Link) yang akan beroperasi pada 2027.

“Kita di peringkat negeri telah bersetuju untuk memilih ART, sekarang terpulang kepada peringkat pusat dan dijangka MOT akan keluarkan keputusan tersebut sebelum Ogos.

“Kerajaan negeri harap (keputusan MOT) lebih awal, sebab kerajaan negeri sudah buat kajian dan kita pilih ART, dan sewajarnya pandangan kerajaan negeri itu diambil kira dalam pertimbangan MOT,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Task Force Projek Berimpak Tinggi Negeri Johor di hotel Forest City Golf, di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor Lee Ting Han.

Mohamad Fazli berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan projek ART yang dicadangkan kerajaan negeri sebelum ini.

Beliau sebelum ini dilapor sebagai berkata, kos pembinaan ART yang dianggarkan hampir RM7 bilion akan melibatkan tiga jajaran, iaitu Laluan Iskandar Puteri sepanjang 14.78km, Laluan Skudai (18.8km) dan Laluan Tebrau (14km). 

Sementara itu beliau menyatakan kerajaan negeri sedang membangunkan aplikasi Pusat Aduan Bersepadu bagi memudahkan orang awam menghantar pelbagai aduan seperti jalan berlubang, kerosakan lampu dan sebagainya.

Mohamad Fazli menambah aplikasi tersebut yang dijangka beroperasi tahun ini juga dapat membantu memudahkan gerak kerja pihak yang terlibat.

“Jalan raya ini banyak yang dijaga oleh pihak terlibat seperti konsesi dan sebagainya. Justeru, sistem bersepadu dapat memudahkan pihak terlibat bertindak selepas menerima aduan,” katanya.

Beliau dalam pada itu berkata pihaknya menyasarkan 1,000 daripada 2,600 lokasi jalan rosak yang telah dikenalpasti di seluruh Johor dapat diperbaiki dalam dua atau tiga tahun ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan