AM

100 SYARIKAT BERPOTENSI WILAYAH PANTAI TIMUR SERTAI SIRI JELAJAH ENTERPRISE 50

29/05/2024 02:47 PM

KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) -- Program anugerah berprestij, Enterprise 50 atau lebih dikenali sebagai Anugerah E50 yang diperkenalkan awal tahun ini oleh Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Corp Malaysia), meneruskan pencarian 50 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) terbaik dalam negara.

Siri jelajah pencarian PMKS kali ini dilaksanakan di Wilayah Pantai Timur iaitu di Kuala Terengganu dan berjaya menarik lebih 100 syarikat PMKS berpotensi dari sekitar Negeri Terengganu, Kelantan dan Pahang menyertai program jelajah itu.

"Rakan strategik seperti RHB Bank Berhad, Unifi Business (Telekom Malaysia), Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) dan ASTRO Malaysia Holdings Berhad telah memberikan taklimat berkenaan program yang dapat ditawarkan kepada PMKS.

"Rakan strategik lain yang menyokong penganjuran Program E50 termasuklah YTL Corporation Berhad, KLIATV Media, RAM Rating Services Berhad, Media Prima Omnia, Malaysia SME, dan Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad," menurut SME Corp Malaysia dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, penganjuran Anugerah E50 itu akan menggalakkan PMKS melengkapkan operasi perniagaan mereka dengan aspek berkaitan kelestarian melalui amalan Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

SME Corp Malaysia juga memaklumkan satu anugerah khas baharu iaitu Anugerah Amalan ESG Terbaik E50 akan diperkenalkan tahun ini bagi memperakui Syarikat PMKS yang menjadikan ESG sebagai agenda utama dalam perniagaan mereka.

Sementara itu  Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Malaysia Rizal Nainy berkata: "Anugerah ini telah berjaya mempromosi dan menonjolkan PMKS yang berdaya saing dan berdaya tahan serta mampu menghadapi cabaran global dalam semangat keusahawanan sejati selain meningkatkan penampilan syarikat”.

Beliau berkata Anugerah E50 tahun ini amat signifikan dalam mengiktiraf PMKS yang berdaya tahan terutamanya dalam mengharungi ekonomi global yang makin mencabar.

Rizal berkata bagi meningkatkan penyertaan PMKS dalam Anugerah E50 pada tahun ini, beberapa siri jelajah telah dilaksanakan di beberapa lokasi termasuklah di Sabah, Sarawak, Pulau Pinang (Zon Utara) dan Johor (Zon Selatan).

Beliau berkata tahun ini syarikat berkaitan perlu mengemukakan pencalonan mereka secara dalam talian melalui Sistem Bersepadu Penarafan Insentif PMKS (MyBPI) sebelum tarikh tutup pada 30 Jun 2024.

Untuk maklumat lanjut mengenai Program Anugerah E50, sila layari laman sesawang, www.e50.com.my.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan