AM

LRT PULAU PINANG: KERAJAAN NEGERI, MRT CORP TEROKA SISTEM 'LOW TO MEDIUM CAPACITY'

29/05/2024 08:59 PM

GEORGE TOWN, 29 Mei (Bernama) -- Kerajaan Pulau Pinang bersama Mass Rapid Transit Corp Sdn Bhd (MRT Corp) sedang meneroka sistem ‘low to medium-capacity’ bagi Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara Pulau Pinang.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang Zairil Khir Johari berkata Lembaga Perolehan Kementerian Pengangkutan pula akan memilih jenis di bawah sistem LRT berkenaan berdasarkan unjuran penumpang dan keperluan negeri.

“Apabila kita bincang mengenai LRT, ramai bayangkan LRT seperti di Kelana Jaya Line, ia medium high-capacity iaitu 15,000 hingga 30,000 penumpang sejam sehala dan ini sistem yang tidak sesuai untuk Pulau Pinang.

“Kita pun memang tidak akan pilih satu sistem seperti Kelana Jaya Line. Kita akan memilih sistem yang scalable, boleh mula dengan frekuensi lebih kurang tren dua gerabak supaya apabila kita hendak tambah di masa hadapan, kita boleh letak tiga atau empat gerabak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung ucapan perasmian Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Zairil berkata pemilihan mod pengangkutan bersesuaian akan diputuskan selaras dengan keperluan unjuran penumpang dan kos pembangunan serta pengoperasian yang berkadaran dengan kemampuan kewangan.

Bagi mengoptimakan kos pembangunan infrastruktur, beliau berkata kerajaan mempertimbangkan pembinaan secara modular dengan mengambil kira keperluan semasa dan akan datang.

Beliau berkata reka bentuk terperinci bagi pembinaan LRT sememangnya mengambil kira penggunaan sumber elektrik yang mencukupi dengan setiap stesen akan saling dihubungkan dengan Traction Power Sub Station (TPSS) yang akan membekalkan bekalan elektrik kepada sistem tren kelak.

Projek LRT dengan jarak jajaran dianggarkan kira-kira 29 kilometer dengan 20 stesen termasuk dua stesen pertukaran iaitu di Stesen Komtar dan Stesen Penang Sentral itu, dijangka dimulakan pada September atau Oktober tahun ini.

Mengenai pelaksanaan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), Zairil berkata setakat ini tiga NADI beroperasi di Pulau Pinang iaitu di kawasan Sungai Pinang, Tasek Gelugor dan Taman Prestij.

Sementara itu, 11 lagi sudah disiapkan termasuk di KADUN Permatang Pasir, Seberang Jaya, Perai, Bukit Tengah, Machang Bubuk, Berapit, Sungai Bakap, Pengkalan Kota, Komtar, Pulau Betong dan Bertam.

Beliau berkata 10 NADI pula dijangka disiapkan pada 31 Mei ini yang melibatkan KADUN Bagan Dalam, Bagan Jermal, Pinang Tunggal, Sungai Dua, Sungai Acheh, Air Putih, Air Itam, Bayan Lepas, Pulau Tikus dan Batu Maung.

Persidangan DUN bersambung esok.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan