EKONOMI

Pasaran Modal Perlu Permudahkan Pengumpulan Dana, Pelaburan Untuk Kemampanan

20/06/2024 04:14 PM

KUALA LUMPUR, 20 Jun (Bernama) -- Pasaran modal Malaysia perlu bersedia untuk memudahkan pengumpulan dana serta pelaburan bagi menyokong usaha kerajaan dalam mencapai matlamat kemampanan dan iklim, dengan mengambil kira keperluan pembiayaannya yang agak besar, kata Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Pengerusi SC, Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata bagi mencapai matlamat peralihan tenaga, Malaysia memerlukan RM1.3 trilion sehingga 2050, yang merangkumi pelaburan dalam tenaga boleh baharu, kecekapan tenaga dan mobiliti hijau. 

"Banyak yang perlu dilaksanakan untuk memastikan pelaburan mencapai tempat yang betul dengan kesan maksimum terhadap kemampanan. Kita juga perlu merancang bagaimana hendak membiayai keperluan penyesuaian iklim bagi menangani peningkatan suhu dan kenaikan paras laut," katanya semasa berucap dalam perasmian Persidangan Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) Perbadanan Pembangunan Industri Sekuriti (SIDC) 2024 di sini hari ini.

SC komited untuk mengawal selia termasuk membangunkan pasaran modal Malaysia ke arah matlamat ini dengan mempromosikan serta mengekalkan persekitaran pasaran yang saksama, cekap, selamat dan telus, selain, pada masa yang sama menggalakkan pembangunan pasaran yang inovatif dan berdaya saing.

Beliau menambah SC telah menuju ke arah kemampanan sejak 2011 apabila SRI disimpulkan dalam Pelan Induk Pasaran Modal 2 (CMP2) sebagai strategi pertumbuhan utama.

"Di bawah CMP3 dan Pelan Hala Tuju SRI, SC terus membangunkan ekosistem SRI yang teguh di Malaysia. Ini termasuk memperkenalkan produk pasaran modal yang inovatif bagi memenuhi pelbagai keperluan perniagaan serta pelabur.

"Susulan itu, kita sudah pun melihat kejayaan awal termasuk pembiayaan matlamat pembangunan mampan dan iklim Malaysia. Sejak pengumuman rangka kerja sukuk SRI, RM27.61 bilion sukuk SRI telah diterbitkan di Malaysia yang merangkumi terbitan sukuk hijau pertama di dunia untuk pembiayaan projek tenaga boleh baharu,” katanya. 

Mohammad Faiz menambah selama ini, pelbagai projek termasuk tenaga boleh baharu, pertanian lestari, pengurusan sisa, pengurusan air, rumah mampu milik, bangunan hijau, pendidikan dan banyak lagi, telah dibiayai melalui sukuk SRI.

Di samping itu, Pasaran Modal Islam Berpandukan Maqasid al-Shariah turut diperkenalkan pada November lepas, sebagai piawaian tambahan syariah bagi mengelak kemudaratan selain untuk mengukuhkan impak dan sumbangan positifnya kepada masyarakat dan manusia.

"Malaysia juga telah menyaksikan lonjakan ketara dalam pelaburan mampan. Sehingga Disember 2023, terdapat 68 dana SRI dengan nilai aset bersih RM7.7 bilion berbanding hanya tujuh dana SRI pada 2020 sebanyak RM1.46 bilion," katanya.

Untuk meningkatkan pemahaman serta pengetahuan dalam kelestarian, SC telah mengambil bahagian dalam acara tempatan dan antarabangsa sebagai sebahagian daripada perkongsian pengetahuan termasuk untuk mendedahkan lagi profil SRInya.

Beliau berkata inisiatif ini adalah penting untuk mempercepatkan pertumbuhan dan pembangunan ekosistem SRI yang memudahkan di Malaysia.

"SIDC, cabang pembinaan kapasiti SC, berada di barisan hadapan dalam pasaran modal untuk menyokong pertumbuhan dalam pelaburan yang mampan dan bertanggungjawab dengan penyelesaian pembelajaran serta pembangunan, pensijilan dan kelayakan profesional, pendidikan berterusan dan program pembinaan kapasiti.

"Sekarang ini, SIDC mempunyai 47 tajuk program mengenai kemampanan dan SRI, memenuhi keperluan organisasi yang pelbagai dalam pasaran modal," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan