AM

220 SYARIKAT CHINA TAWAR LEBIH 5,000 LATIHAN TVET KEPADA PELAJAR MALAYSIA - AHMAD ZAHID

30/05/2024 11:26 AM

Oleh Muhammad Saufee Rosman

BEIJING, 30 Mei (Bernama) -- Sebanyak 220 syarikat China menawarkan 5,125 kuota kepada pelajar Malaysia untuk menjalani latihan berkaitan Pendidikan dan Latihan dan Teknikal Vokasional (TVET) bagi jangka pendek, sederhana dan panjang sekali gus menjadi ‘game changer’ atau pengubah keadaan dalam melonjakkan industri TVET di Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata tawaran itu adalah hasil jalinan kerjasama antara Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (Belia Mahir) dengan pihak industri berkaitan TVET di China iaitu Beifang Automotive Education Group dan Tang (M) International Education Group melalui memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai di sini malam tadi.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara berkata kuota latihan yang ditawarkan adalah termasuk 500 kuota untuk pelajar Malaysia kaum Cina dan 200 kuota masing-masing untuk masyarakat India, Sabah dan Sarawak.

“Pelbagai tawaran latihan atau kursus disediakan melalui kerjasama ini terutamanya berkaitan automotif yang memfokuskan kepada kenderaan elektrik (EV), kenderaan tenaga boleh diperbaharui (REV), robotik, Internet benda (IoT) serta kecerdasan buatan (AI).

“Latihan disediakan bagi jangka pendek adalah selama tiga bulan, manakala jangka sederhana selama enam bulan dan jangka panjang adalah enam bulan hingga tiga tahun,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Malaysia-China International Industry-TVET Education Cooperation dan menyaksikan majlis menandatangani MoU berkenaan sempena lawatan rasmi beliau ke China bermula 22 Mei hingga Sabtu ini.

Beifang Automotive Education Group ialah jenama pendidikan automotif dengan institusi bebas di China, yang menyediakan pusat penyelidikan dan pembangunan dengan sejumlah besar peralatan pengajaran praktikal, pemotongan kenderaan sebenar dan peralatan-peralatan besar bagi membolehkan pelajar menjalankan latihan membuka dan memasang kenderaan.

Sementara itu Kumpulan Pendidikan Antarabangsa Tang menyediakan perkhidmatan pengajaran dan pembelajaran pintar, termasuk pendidikan bahasa Cina profesional, pendidikan vokasional, pendidikan berterusan dan sepanjang hayat melalui teknologi maklumat dengan bekerjasama bersama pakar dan rakan kongsi dari pelbagai bidang.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata selain berpeluang mempelajari TVET di China yang dibiayai sepenuhnya, inisiatif itu juga dilihat menuju ke arah golongan pekerja mahir untuk memperoleh gaji premium apabila pihak industri China yang melabur di Malaysia akan mengambil mereka bekerja.

Beliau berkata pengajian dibiayai sepenuhnya oleh pihak industri di China, dan pihak Majlis Amanah Rakyat (MARA) bersetuju untuk membiayai tiket penerbangan.

“Tawaran latihan ini juga telah bermula dan kita telah hantar 850 pelajar Malaysia, dan selebihnya akan bermula pada bulan ini hingga 2025 secara berperingkat,” katanya sambil menambah kos pembiayaan keseluruhan bagi jangka pendek sahaja bernilai RM30 juta.

Ahmad Zahid berkata Malaysia-China Institute (MCI) turut menyediakan pengetahuan asas bahasa Mandarin sebagai persediaan kepada pelajar yang akan menyertai latihan itu di republik berkenaan.

Ditanya mengenai pensijilan bagi latihan itu, beliau berkata ia diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Jabatan Pembangunan Kemahiran yang digabungkan menjadi badan akreditasi tunggal bagi kursus berkaitan TVET.

Sementara itu mengulas kaji selidik Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) berhubung kurang 40 peratus daripada 262 syarikat swasta menggajikan graduan TVET, beliau berkata ia kemungkinan adalah kajian awal sebelum tawaran latihan itu dan Dasar TVET Negara dilancarkan.

“Harap ada kajian baharu akan dibuat MEF dan FMM (Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia) kerana keperluan mereka adalah produktiviti dan untuk memperoleh pekerja mahir… tentunya latihan dalaman perlu dibuat dan produktiviti dapat dijamin.

“Maka di dalam kursus TVET yang dijalankan (Belia Mahir dengan kerjasama Beifang dan Tang) ini, kita sediakan pekerja mahir dan tentunya ia akan menambah nilai kepada produktiviti tenaga kerja yang akan ditawarkan oleh bidang yang pelbagai dalam TVET,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan