AM

PM UMUM BAUCAR BUKU RM100 KEPADA GOLONGAN PELAJAR

30/05/2024 05:38 PM

KUALA LUMPUR, 30 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan pemberian baucar buku RM100 kepada golongan pelajar yang bermula esok petang. 

Beliau berkata pemberian baucar itu membabitkan murid tahun empat dan ke atas, pelajar sekolah menengah, penuntut institusi pendidikan tinggi serta Institusi Pendidikan Guru dan panduan mengenai judul buku yang boleh dibeli menggunakannya akan disediakan oleh kerajaan. 

“Saya cadang kita beri panduan kerana sebelum ini ada tetapi beli buku picisan yang tidak bernilai, mungkin sebahagiannya boleh untuk judul seperti karya sasterawan negara A. Samad Said, Shahnon Ahmad dan (Datuk Dr) Anwar Ridhwan.

“Juga usulkan mengenai buku terkait digital, AI (kecerdasan buatan) kerana negara kita melonjak ke arah itu dan rugi jika anak-anak tak tahu apa dia (AI), dan (sebahagian lagi baucar) kita beri kelonggaran kepada penerima untuk pilih sendiri,” katanya.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata demikian ketika berucap merasmikan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBKL) 2024 ke-41 di sini.

Turut hadir Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Anwar juga berkata cadangan untuk memberikan baucar itu kepada murid tahun empat dan ke atas adalah bagi mengurangkan tekanan kepada kewangan kerajaan.

“Jadi tidak boleh beri kepada semua sekali gus… negara berdepan kekangan ekonomi malah kerajaan ketika ini mewarisi hutang sekitar RM1.5 trilion selain keadaan defisit fiskal negara.

“Sekarang kita putuskan urus tadbir dengan baik, henti rasuah dan sakau bagi turunkan kadar hutang, rendahkan defisit belanjawan negara,” katanya. 

Perdana Menteri turut meminta Fadhlina dan Zambry meneliti mekanisme pemberian baucar supaya ia dapat dilaksana seawal 2 petang esok sekali gus dapat dimanfaat oleh pengunjung PBAKL 2024.

PBAKL 2024 berlangsung selama 10 hari dari 24 Mei hingga 2 Jun.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan