POLITIK

PKR KELANTAN WUJUDKAN NGO ANAK MUDA MADANI

18/06/2024 06:54 PM

PASIR MAS, 18 Jun (Bernama) -- PKR Kelantan akan membentuk satu badan bukan kerajaan (NGO)  khas yang dikenali sebagai Anak Muda MADANI bagi menyantuni golongan itu di negeri berkenaan.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Kelantan Datuk Seri Mohamad Suparadi Md Noor berkata NGO itu, yang akan diurus sepenuhnya oleh Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kelantan dilihat mampu menjadi kaedah terbaik dalam menghimpun dan menyatukan golongan muda menerusi pelbagai aktiviti.

"Hanya anak muda yang memahami cita rasa sesama mereka dan saya serahkan mandat ini kepada Ketua AMK negeri… anak muda perlu dibentuk dari sekarang dengan memberi peluang kepada mereka dalam politik arus perdana," katanya kepada Bernama selepas menghadiri Majlis Korban Aidiladha MADANI AMK di Kampung Binjal Kangkong di sini hari ini.

Pada program itu, beliau mengagihkan kira-kira 500 pek daging korban hasil sembelihan tiga ekor lembu kepada penduduk kampung berkenaan.

Mohamad Suparadi juga berkata PKR Kelantan akan menghantar 50 ahli setiap hari bagi membantu sepanjang tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.

"Setiap dua hari, akan ada dua cabang ditempatkan di sana yang akan membantu jentera mengikut aturan gerak kerja yang telah ditetapkan.

“Kita juga akan jadi bapa angkat kepada peti undi Sungai Kecil di mana kita berkampung dari hari penamaan calon hingga ke hari pengundian," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 6 Julai sebagai hari mengundi dan 22 Jun hari penamaan calon manakala pengundian awal pada 2 Julai.

PRK Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Mohd Nor pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan