AM

SKUAD INSPEKTOR 1964 RAI ULANG TAHUN KE-60 DI PULAPOL

01/06/2024 06:28 PM

KUALA LUMPUR, 1 Jun (Bernama) -- Skuad Inspektor 1/1964 hari ini meraikan ulang tahun ke-60 dengan melawat lokasi permulaan kerjaya mereka sebelum bergelar pegawai polis iaitu Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur.

Pengelola Program Reunion Skuad Inspektor 1/1964 ACP (B) S.Divakaran berkata sambutan di Pulapol itu seakan mengimbau kenangan mereka sewaktu menerima latihan kepolisan pada 1964.

“Hari ini genap 60 tahun ulang tahun skuad kami dan kesempatan ini digunakan untuk berkumpul, bertemu rakan lama yang melalui susah dan senang ketika menjalani latihan selama sembilan bulan...kita mahu menghargai kawan-kawan lama.

“Ini adalah pusat latihan utama dan kita dapat melihat banyak perubahan (di Pulapol) dalam tempoh 60 tahun ini...kini sudah ada sistem latihan yang sentiasa dipertingkatkan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Ulang Tahun Skuad 1964 ke-60 di sini hari ini.

Terdahulu, tujuh bekas pegawai Skuad Inspektor 1/1964 itu dibawa melawat ke Pusat Simulasi Taktikal (PST) dan Lapang Sasar Pulapol Kuala Lumpur oleh Komandan Pulapol Kuala Lumpur SAC Muhammad Idzam Jaafar.

Selain Divakaran, enam lagi adalah bekas Komandan Pulapol SAC (B) Datuk Syed Md Mokhtar Syed Zubir Barakbah, bekas Timbalan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman SAC (B) Kamarulzaman Mohd Nor, bekas Ketua Cawangan khas Kontinjen Johor SAC (B) Datuk Micheal Khor Siang Pin, bekas Ketua Polis Daerah Sentul ACP (B) C Kerisnan, Datuk Abbas Osman dan Munshir Abdullah.

Divakaran yang merupakan bekas Ketua Jabatan Pengurusan Kontinjen Johor itu berkata walaupun skuad itu mempunyai 90 anggota, kehadiran tujuh bekas pegawai terbabit cukup untuk ‘mengubat’ kerinduan kepada persahabatan mereka yang terjalin sejak 60 tahun lepas.

“Ada antara anggota skuad ini sudah berusia lebih 70 dan 80 tahun serta mempunyai masalah kesihatan namun sanggup datang untuk berjumpa rakan-rakan lama...kita mahu tahu perkembangan serta menghargai mereka,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan anggota dan pegawai PDRM masa kini supaya sentiasa berpegang kepada undang-undang dalam melaksanakan tugas dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

“Sebagai seorang anggota polis anda sendiri perlu ikut undang-undang barulah orang lain (masyarakat) akan patuhi undang-undang dan bantu orang ramai dari segi kebajikan agar selari dengan slogan polis sedia berkhidmat untuk rakyat,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan