AM

FINAS, TV3 SAMBUT ULANG TAHUN HARI INI

01/06/2024 07:02 PM

KUALA LUMPUR, 1 Jun (Bernama) -- Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) menyambut ulang tahun ke-43 penubuhannya, manakala Stesen Televisyen Malaysia Berhad (TV3) menyambut ulang tahun ke-40, kedua-duanya pada hari ini.

FINAS ditubuhkan secara rasmi pada 1 Jun 1981 sebagai badan peneraju kemajuan industri perfileman negara manakala TV3, milik Media Prima Berhad mula bersiaran pada 1984 sebagai stesen televisyen swasta pertama di Malaysia. 

Ketua Pegawai Eksekutif FINAS Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berterima kasih atas sokongan dan dorongan selama ini, yang membolehkan agensi di bawah Kementerian Komunikasi itu melaksanakan tangungjawab memperkasakan industri filem kreatif negara.

Beliau berkata FINAS akan terus memacu perkembangan industri dan memastikan filem serta penerbit dari Malaysia, dapat memahat nama di persada antarabangsa khususnya di rantau Asia Tenggara.

“Kita juga ingin lihat Malaysia menjadi salah satu hab penggambaran yang utama di rantau ini,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Azmir Saifuddin berkata pihaknya akan mengumumkan beberapa inisiatif baharu untuk memastikan industri filem terus berdaya maju, antaranya mekanisme pengewangan harta intelek dan sebuah skim pembiyaan untuk pemain industri.

“Inisiatif ini untuk menggalakkan penerbit menghasilkan kandungan atau harta intelek yang boleh diketengahkan dan dijual bukan sahaja dalam Malaysia, tetapi juga di luar negara.

“Jadi saya berharap semua pihak boleh bersama-sama dengan FINAS untuk membangunkan industri ini ke arah lebih profesional dan menjadikan ia sebagai satu industri yang mempunyai pelbagai peluang kerjaya dan menjana pendapatan,” katanya.

Sementara itu, Pengarang Kumpulan Berita dan Hal Ehwal Semasa Rangkaian Televisyen Media Prima Kamaruddin Mape menzahirkan penghargaan kepada penonton setia stesen televisyen itu, sepanjang empat dekad bersiaran. 

“TV3 sentiasa cuba memenuhi cita rasa ataupun kemahuan penonton, (contohnya) antara kekuatan Buletin Utama ialah segmen Aduan Rakyat, yang kita bantu rakyat mengetengahkan isu dihadapi mereka dan cuba mencari penyelesaian,” katanya.

Beliau juga mengakui seperti semua organisasi media di Malaysia, TV3 perlu beradaptasi untuk kekal relevan terutamanya pada zaman kini yang menyaksikan maklumat atau berita tidak lagi hanya disampaikan melalui plaform percetakan atau siaran, tetapi juga menerusi media sosial.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan