AM

MERCY MALAYSIA UCAP TERIMA KASIH KEPADA KEDUTAAN MALAYSIA DI AMMAN

02/06/2024 02:08 PM

KUALA LUMPUR, 2 Jun (Bernama) -- Pertubuhan Mercy Malaysia mengucapkan terima kasih kepada Kedutaan Besar Malaysia di Amman, Jordan kerana membantu dan memudahkan pemindahan enam anggota Pasukan Perubatan Kecemasannya (EMT) dari Rafah, Gaza dengan selamat.

Dalam kenyataan hari ini, Mercy Malaysia berkata kehadiran dan sokongan dari pihak kedutaan semasa proses membawa anggota pasukan itu keluar dari Rafah adalah penting.

“Petugas kedutaan berada di sana bersama-sama dengan pasukan dari ibu pejabat Mercy Malaysia bagi menyambut ahli pasukan semasa mereka melintasi sempadan, memberikan bantuan yang amat diperlukan dan menjaga kebajikan mereka sepanjang tempoh itu.

“Mercy Malaysia sebelum ini telah menghantar tiga pasukan perubatan kecemasannya secara bergilir-gilir sejak Februari 2024. Setiap pasukan memainkan peranan dalam memberikan rawatan perubatan kritikal dan bantuan kemanusiaan kepada mereka yang terjejas akibat konflik berterusan di Gaza,” menurut kenyataan itu.

Mercy Malaysia berkata urusan membawa keluar pasukan juga juga berjaya dilaksanakan menerusi bantuan dan penyelarasan yang tidak ternilai oleh Sel Koordinasi Pasukan Perubatan Kecemasan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO-EMTCC).

"Usaha mereka menjamin laluan selamat bagi sukarelawan kami adalah penting, dan kami juga mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada WHO-EMTCC atas sokongan mereka yang tidak berbelah bahagi," menurutnya.

Sementara itu Mercy Malaysia berkata ia akan kekal komited terhadap misinya menyediakan bantuan perubatan dan bantuan kemanusiaan kepada komuniti yang mengalami krisis, dan pada masa yang sama memastikan keselamatan serta kesejahteraan sukarelawan mereka terus menjadi keutamaan.  

Kementerian Luar semalam mengesahkan bahawa kesemua enam ahli EMT Mercy Malaysia selamat dipindahkan dari Rafah, Gaza secara berkumpulan, bersama dengan kakitangan antarabangsa yang lain.

Kumpulan itu berlepas masing-masing pada 23, 24 serta 28 Mei, dan dua ahli terakhir berlepas pada 31 Mei.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan