AM

JENAZAH PENDAKI RAKYAT MALAYSIA TELAH DIBAWA TURUN DARI GUNUNG DENALI

02/06/2024 05:31 PM

KUALA LUMPUR, 2 Jun (Bernama) -- Jenazah pendaki Zulkifli Yusuf yang meninggal dunia semasa mendaki di Gunung Denali di Alaska telah dibawa turun dari lokasi kejadian pada 8.30 pagi, 1 Jun (waktu tempatan).

Perkara itu dimaklumkan Kelab Alpine Malaysia menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.

“Kami mendapat makluman melalui Konsular Malaysia di Los Angeles dan pihak penyelamat bahawa jenazah Allahyarham Zulkifli Yusof, 37, yang meninggal dunia semasa mendaki di Gunung Denali telah selamat dibawa turun dari lokasi kejadian pada 8.30 pagi, 1 Jun waktu tempatan.

“⁠Jenazah kini di tempatkan di sebuah hospital di Anchorage, Alaska dan akan menjalani proses selanjutnya. ⁠Pihak keluarga sedang berurusan dengan syarikat insurans dibantu wakil Konsular Malaysia untuk membawa jenazah pulang ke Malaysia dalam masa terdekat,” menurut hantaran itu.

Selain itu, hantaran tersebut turut memaklumkan dua pendaki iaitu Muhammad Illaham Ishak, 47, dan Zainudin Lot, 47,  masih berada di hospital untuk rawatan akibat luka beku (frostbite).

Hantaran itu juga memaklumkan ⁠wakil kelab berkenaan Norsafrina Shamsir Md Nasir kini berada di Talkeetna, Alaska bagi membantu urusan membawa pulang jenazah dan dua pendaki lain dan untuk sebarang pertanyaan serta maklumat lanjut boleh menghubungi pegawai perhubungan kelab iaitu Ayob di talian 017-3372696. ⁠

“Untuk sementara ini, kami mohon agar pihak waris dan keluarga diberikan ruang privasi sebaiknya dan memohon agar rakyat Malaysia mendoakan agar semua urusan dipermudahkan,” menurut hantaran itu.

Kelab Alpine Malaysia semalam memaklumkan seorang daripada tiga pendaki rakyat Malaysia yang terkandas pada ketinggian 19,700 kaki di Gunung Denali di Alaska, sejak Selasa lepas ketika membuat pendakian di gunung tertinggi di Amerika Utara itu dilaporkan meninggal dunia.

Kelab berkenaan memaklumkan Zulkifli meninggal dunia pada 6 pagi, 29 Mei (waktu tempatan), semasa berlindung di gua salji yang dikenali sebagai Football field.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan