AM

SIDANG GCC-ASEAN BERI PELUANG TARIK PELANCONG ASING 

04/06/2024 04:17 PM

KOTA BHARU, 4 Jun (Bernama) -- Sidang kemuncak Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan ASEAN yang dijangka berlangsung di Malaysia pada tahun depan bakal menarik lebih ramai kehadiran pelancong asing ke negara ini.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Khairul Firdaus Akbar Khan berkata peluang berkenaan akan digunakan sebaiknya oleh pihaknya untuk mempromosikan Tahun Melawat Malaysia pada tahun 2026.

"Memandangkan kita akan menjadi tuan rumah untuk sidang GCC-ASEAN ia akan menjadi keadaan yang cukup strategik bagi kita untuk promosi Tahun Melawat Malaysia 2026, bahkan kita tahu rakyat dari negara ASEAN gemar melancong," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sustainability in The Creative and Cultural Industries Programme: Asean & Beyond (SCCIP 2024) di Universiti Malaysia Kelantan, Kampus Kota, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Khairul Firdaus berkata pihaknya juga kini sedang giat berusaha untuk mengembangkan pelbagai produk dan bidang membabitkan sektor pelancongan termasuk pengajian yang membabitkan sektor kebudayaan.

Media sebelum ini melaporkan, para pemimpin GCC dan ASEAN bersetuju mengadakan sidang kemuncak GCC-ASEAN setiap dua tahun sekali dengan sidang kemuncak berikutnya dijadualkan berlangsung di Malaysia pada 2025.

Kedua-dua pihak berunding dan meneroka kerjasama dalam bidang tertentu yang mempunyai  kepentingan bersama untuk melaksanakan empat bidang keutamaan ASEAN dalam Pandangan ASEAN Mengenai Indo-Pasifik (AOIP) iaitu kerjasama maritim, rangkaian hubungan, matlamat pembangunan lestari (SDG) dan ekonomi serta bidang kerjasama lain yang mungkin sesuai.

Pemimpin kedua-dua kumpulan itu juga berikrar untuk memperkukuh hubungan di peringkat multilateral dan bilateral serta di forum global dengan mengejar peluang untuk pembangunan mampan, keamanan dan kestabilan selain mengendalikan cabaran dan risiko global dan serantau.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan