AM

LEBIH 100 KES PENEBANGAN HUTAN SECARA HARAM DIREKODKAN DI KELANTAN - MB

05/06/2024 02:13 PM

KOTA BHARU, 5 Jun (Bernama) -- Sebanyak 137 kes penebangan hutan secara haram di Kelantan dikenal pasti dari 2020 hingga 2023, kata Menteri Besar Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 98 sudah selesai didakwa di mahkamah manakala 39 kes lagi masih dalam proses siasatan lanjut atau penyelesaian.

Menurutnya, trend kesalahan melibatkan kes ini juga dilihat semakin menurun setelah penguatkuasaan dipertingkatkan secara berterusan setiap tahun dengan 47 kes pada 2020, 35 kes (2021), 33 kes (2022) dan 22 kes (2023).

"Sepanjang tempoh sama, kompaun sebanyak RM1.38 juta dikutip dan denda berjumlah RM101,000 dikenakan," katanya ketika menjawab soalan dikemukakan Nik Bahrum Nik Abdullah (PAS-Chempaka) berhubung jumlah kes pencerobohan tanah yang dikesan Jabatan Perhutanan dari 2020 hingga 2023.

Sementara itu, menjawab soalan Datuk Shaari Mat Hussain (PAS-Paloh) mengenai jumlah hak milik tanah yang dikeluarkan kepada pemohon di jajahan Gua Musang dari 2023 sehingga kini, Mohd Nassuruddin berkata sebanyak 1,905 hak milik tanah telah dikeluarkan oleh Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang.

"Antara langkah yang diambil bagi menyelesaikan masalah tunggakan pemberian milik tanah ialah membuat penyelesaian dan memproses geran secara berkelompok dari 2019 hingga 2024 melibatkan 5,328 hak milik tanah didaftarkan dan dikeluarkan hak milik.

"Selain itu, kita turut melaksanakan pemutihan semula fail permohonan yang lama bagi mengesan status dan alamat terkini pemohon pentadbiran dengan membuat semakan di pejabat Pendaftaran Negara, sehingga kini 878 fail permohonan telah dibuat proses pemutihan semula," katanya.

Mohd Nassuruddin berkata pihaknya juga turut mengemas kini dan membuat semakan semula pengeluaran Notis 5A (Notis Bahawa Hasil Tanah Harus Dibayar) kepada permohonan yang telah mendapat kelulusan Pihak Berkuasa Negeri.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan