AM

MERCY MALAYSIA GESA GENCATAN SENJATA SEGERA KONFLIK ISRAEL-GAZA

05/06/2024 05:31 PM

KUALA LUMPUR, 5 Jun (Bernama) -- MERCY Malaysia menggesa gencatan senjata segera dilakukan terhadap perang Israel-Gaza yang sedang berlaku bagi menangani krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di Gaza. 

MERCY Malaysia dalam kenyataan hari ini, berkata ia akur dengan cadangan gencatan senjata Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden baru-baru ini, menekankan keperluan mendesak untuk menghentikan semua tindakan ketenteraan. 

Pertubuhan itu menekankan kesan teruk kepada orang awam dan halangan besar terhadap usaha kemanusiaan akibat konflik yang berterusan.

"Keganasan yang semakin memuncak telah menyebabkan kehilangan nyawa dan kecederaan yang besar, perpindahan besar-besaran dan kemusnahan infrastruktur kritikal.

"Kemudahan perubatan tidak dapat menampung pesakit dan akses kepada perkhidmatan penting termasuk penjagaan kesihatan, makanan, dan air bersih, sangat terhad," menurut kenyataan itu. 

Menurut kenyataan itu, krisis kemanusiaan semakin parah dengan setiap hari yang berlalu, menjadikan gencatan senjata langkah penting untuk mencegah kehilangan nyawa lebih lanjut dan mengurangkan penderitaan mereka yang terperangkap dalam konflik berkenaan. 

Pertubuhan itu menyatakan bahawa pembukaan sepenuhnya pintu sempadan untuk memudahkan penghantaran bantuan kemanusiaan adalah penting dalam menangani keperluan mendesak penduduk. 

"Pasukan kami di lapangan telah menyaksikan sendiri kesan buruk daripada konflik itu. Tanpa gencatan senjata, penghantaran rawatan, bekalan dan sokongan perubatan penting terjejas teruk," menurut kenyataan berkenaan. 

Ia menyatakan gencatan senjata akan memberi tempoh kritikal kepada organisasi kemanusiaan seperti MERCY Malaysia untuk beroperasi dengan selamat dan berkesan, sekali gus menyampaikan bantuan menyelamatkan nyawa kepada golongan paling rentan. 

Ia berkata bahawa menghentikan keganasan adalah langkah pertama ke arah penyelesaian  yang berpanjangan serta perlindungan nyawa orang awam dan masyarakat antarabangsa mesti bersatu dalam menyokong cadangan itu serta memastikan prinsip kemanusiaan menjadi panduan dalam setiap tindakan yang diambil. 

MERCY Malaysia kekal komited terhadap misinya untuk menyediakan bantuan perubatan dan bantuan kemanusiaan serta bersedia menyokong semua usaha yang bertujuan untuk mencapai keamanan dan kestabilan di rantau itu.

Sementara itu, Israel meneruskan serangan kejamnya ke atas Gaza, walaupun resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menuntut gencatan senjata segera.

Lebih 36,500 rakyat Palestin terbunuh di Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak dan hampir 83,000 yang lain cedera, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.

Hampir lapan bulan selepas perang Israel, sebahagian besar Gaza runtuh di tengah-tengah sekatan makanan, air bersih, dan ubat-ubatan yang melumpuhkan.

Israel dituduh melakukan genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), yang dalam keputusan terbarunya telah memerintahkan Tel Aviv untuk segera menghentikan operasinya di Rafah, iaitu lebih sejuta rakyat Palestin telah mencari perlindungan daripada perang sebelum ia diserang pada 6 Mei.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan