AM

PENGGUNA HARAP BEKALAN AIR CEPAT PULIH

05/06/2024 08:51 PM

KUALA LUMPUR, 5 Jun (Bernama) -- Aktiviti harian dan perniagaan berjalan seperti biasa walaupun beberapa kawasan sekitar Lembah Klang terjejas akibat gangguan bekalan air berjadual namun pengguna berharap bekalan air pulih cepat.

Tinjauan Bernama di beberapa lokasi mendapati peniaga kedai makanan kebanyakannya menggunakan pinggan mangkuk pakai buang bagi menjimatkan penggunaan air selain lori tangki turut disediakan di fasiliti kesihatan.

Peniaga nasi campur, Mastura Fahry, 39, berkata air yang disimpan ialah untuk kegunaan memasak dan membasuh kuali.

“Kami memang ada simpan air dari awal lagi tapi takut air yang kami simpan tidak cukup, jadi kita gunakan untuk benda-benda penting. Kami gunakan pembungkus makanan lapik dengan pinggan dan plastik supaya penggunaan air dapat dijimatkan,” katanya.

Muhammad Syafiq Kamaludin, 31, yang bertanggungjawab menguruskan fasilti di sebuah klinik kesihatan di sini pula mengucapkan terima kasih atas keprihatinan pihak Air Selangor kerana membantu menyediakan air untuk kegunaan premis berkenaan.

“Klinik-klinik memang memerlukan air yang sangat banyak untuk menguruskan pesakit dan kegunaan makmal. Jadi dengan adanya lori air yang standby, kami berterima kasih kepada mereka kerana bantu kami,” katanya.

Suri rumah Ramjan Bibi Ponondden, 58, pula berharap gangguan air berjadual itu dapat pulih sepenuhnya mengikut tempoh yang ditetapkan.

“Saya memang ada simpan air tapi saya rasa ini cukup untuk satu hari sahaja, kalau lama mungkin tak cukup,” katanya.

Bagi penjual wafel, Hasrida Masriwan, 39, perniagaannya ditutup sementara bermula hari ini sehingga bekalan air pulih sepenuhnya, dijangka Jumaat ini.

“Saya meniaga dekat rumah saya sahaja secara kecil-kecilan. Ada simpan air tapi itu untuk kegunaan keluarga. Jadi saya harap bekalan air dapat pulih sepenuhnya supaya dapat jalankan perniagaan macam biasa,” katanya.

Terdahulu, Air Selangor dalam kenyataan memaklumkan pengguna akan menerima bekalan air secara berperingkat bermula 3 pagi esok selepas kerja-kerja penyenggaraan dan penggantian aset di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 siap pada 7 malam ini.

Menurut Air Selangor, peratusan pemulihan bekalan di kawasan terjejas dijangka mencapai sekitar 20 peratus pada 3 petang esok diikuti 90 peratus pada 3 pagi Jumaat.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan