AM

KOMUNITI MADANI: PASUKAN HADAPAN TANGKIS FITNAH, TOHMAHAN - FAHMI

06/06/2024 03:04 PM

NIBONG TEBAL, 6 Jun (Bernama) -- Komuniti MADANI harus menjadi pasukan paling hadapan dalam kalangan masyarakat untuk menangkis dan mengalahkan fitnah serta tohmahan yang tidak berasaskan fakta di negara ini.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata Komuniti MADANI merupakan platform tepat untuk menyalurkan informasi terkini dan sahih mengenai dasar-dasar serta inisiatif-inisiatif kerajaan pusat dan negeri kepada rakyat secara berterusan.

"Pada perjumpaan hari ini bersama Komuniti MADANI di Parlimen Nibong Tebal saya sampaikan pandangan mengenai keperluan dalam Komuniti MADANI untuk mereka menjadi pasukan paling di hadapan menangkis dan mengalahkan fitnah serta tohmahan yang tidak berasaskan fakta.

"Setiap malam saluran Radio Televisyen Malaysia (RTM) menyiarkan segmen Biar Betul dan ia antara alternatif dalam menangkis penyebaran berita palsu dan fitnah dalam kalangan masyarakat, menerusi program itu kita boleh sebarkan ke seluruh pelusuk negara tentang fitnah yang telah dijawab setiap hari," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Sembang Santai Komuniti MADANI Parlimen Nibong Tebal di Sungai Bakap di sini hari ini.

Dalam perjumpaan itu Fahmi turut menyampaikan beberapa pandangan kepada Komuniti MADANI mengenai langkah-langkah kerajaan yang kini tertumpu kepada usaha meningkatkan pendapatan negara dan membantu meningkatkan pendapatan rakyat.

Beliau berkata ketika ini 1,878 Komuniti MADANI telah ditubuhkan di seluruh negara dan pihaknya dari semasa ke semasa menambah cadangan pembaikan kepada bentuk aktiviti yang boleh dilaksanakan oleh badan sukarela itu.

"Komuniti MADANI ini pertama kita tidak menganjurkan program berskala besar atau kos terlalu tinggi terutama di peringkat komuniti, dan kedua kami mahu pastikan dasar kerajaan sama ada di pusat atau negeri di seluruh negara..

"Apa yang penting kita nak pastikan pengumuman, tindakan dan maklumat yang diambil atau dilaksanakan oleh kerajaan pusat dan negeri sampai kepada rakyat, ini yang kita utamakan," katanya.

Di Pulau Pinang, terdapat 120 Komuniti MADANI melibatkan 40 kawasan Dewan Undangan Negeri.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan