AM

PETUGAS MBSA PERLU ADA SIKAP 'SENSE OF URGENCY' - DATUK BANDAR

06/06/2024 05:21 PM

SHAH ALAM, 6 Jun (Bernama) -- Petugas Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) perlu mempunyai sikap 'sense of urgency' atau sikap yang memerlukan tindakan segera bagi memastikan setiap aduan diterima dan perkhidmatan kepada masyarakat dapat diselesaikan dengan pantas serta efektif.

Datuk Bandar Shah Alam Datuk Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata dengan hasil melebihi RM400 juta setahun, tidak mustahil komuniti di bandar raya ini sentiasa menggesa dan menuntut perkhidmatan perbandaran yang cekap, efektif dan menyeluruh daripada MBSA.

Dengan latar belakang masyarakat yang pelbagai dan sentiasa inginkan perkhidmatan terbaik, beliau berkata tidak hairan sekiranya penerimaan aduan di bandar raya ini adalah yang tertinggi.

"Perkhidmatan teras pihak berkuasa tempatan termasuk MBSA adalah berkenaan mengatasi aduan masyarakat dan dalam hal ini, saya mahu aduan yang diterima daripada penduduk diberi keutamaan diikuti tindakan segera dalam menyelesaikannya.

“Sebagai contoh, jika ada aduan berkaitan jalan berlubang… walaupun mungkin nampak kecil, ia memberi impak besar kepada kelestarian Shah Alam iaitu kita (MBSA) berusaha menjadikannya  sebagai bandar raya pintar, berdaya huni dan mampan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengangkat sumpah sebagai Datuk Bandar Shah Alam ke-12 di Wisma MBSA di sini hari ini.

Mohd Fauzi, 57, yang dilantik ke jawatan itu pada 4 Jun lepas bagi menggantikan Ir Cheremi Tarman yang bersara, pernah berkhidmat sebagai Datuk Bandar Subang Jaya. 

Dalam pada itu, Mohd Fauzi mahu proses rejuvenasi bandar raya Shah Alam yang sedang dilaksanakan MBSA turut memberi tumpuan kepada memberi 'nyawa' dan keceriaan kepada ibu negeri Selangor itu, khususnya pada waktu malam.

Beliau berkata antara perkara yang boleh dipertimbangkan adalah menerusi memperbanyakkan program berbentuk kesenian seperti membaca puisi dan mendeklamasi sajak dengan MBSA boleh mengumpul penyair atau penyajak ternama di Shah Alam.

Sebagai permulaan, katanya Dataran Kemerdekaan boleh dijadikan pentas rintis program itu.

"Selain itu, wakil MBSA juga diminta berbincang dengan pemilik bangunan utama di Shah Alam untuk menyahut seruan memasang lampu di bangunan atau premis masing-masing ketika waktu malam pada hari-hari tertentu seperti hujung minggu," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan