AM

KEKAL POSITIF, KANSER BUKAN PENAMAT HIDUP

06/06/2024 07:06 PM

IPOH, 6 Jun (Bernama) -- Mana-mana wanita didiagnosis menghidap kanser payudara iaitu penyakit yang menjadi musuh nombor satu wanita, pasti tidak mudah menerima hakikat itu.

Bagi bekas doktor gigi Linda Pereira, 62, beliau berasa bagai berada di hujung nyawa saat menerima perkhabaran menghidap penyakit itu pada 2006, namun kini lebih bersikap positif dan menjalani kehidupan tenang bersama suami serta dua anak perempuannya.

Pejuang kanser berasal dari Sabah itu bersyukur mendapat sokongan tidak berbelah bagi daripada suami serta anak-anak dalam mengharungi proses rawatan kanser payudara itu semasa beliau bertugas di Sarawak.

"Pada mulanya sudah tentu saya panik sebab terkejut dan menangis hampir setiap hari kerana memikirkan anak-anak masih kecil ketika itu, tetapi saya mendapat nasihat dan sokongan daripada suami serta keluarga.

"Saya menjalani pemeriksaan mamogram dan menerima keputusan biopsi mengesahkan payudara kiri mempunyai sel kanser. Saya disaran untuk menjalani rawatan di Kuala Lumpur sejak 2009," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Fasa ke-6 Program Mamogram Percuma Etiqa bersama Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) di sini semalam.

Pelancaran itu disempurnakan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim.

Linda berkata pembedahan mengeluarkan sel kanser itu berjaya dilakukan dan beliau kemudian menjalani beberapa kali rawatan radioterapi dan kini perlu melakukan pemeriksaan secara berkala setiap tahun di hospital.

Beliau sehubungan itu menasihati wanita yang menghidap kanser supaya kekal positif dan jangan mudah berputus asa kerana kanser bukanlah pengakhiran kehidupan dan perlu menjalani sesi rawatan yang telah ditetapkan oleh doktor.

Linda kini menyertai Pink Unity di bawah naungan NCSM yang merupakan kumpulan sokongan kanser wanita di Malaysia dengan misi menyatukan pesakit kanser wanita dan pesakit kanser yang baru didiagnosis untuk menentang penyakit berkenaan.

Semalam, Pengarah Urusan NCSM Prof Madya Dr M. Murallitharan dalam sembah ucapannya pada majlis pelancaran berkenaan berkata sebanyak 27,500 wanita dari Perak, Johor, Kuala Lumpur, Melaka, Pahang, Kelantan, Terengganu, Penang, Kedah, dan Negeri Sembilan telah menjalani pemeriksaan mamogram secara percuma sejak 2017.

Beliau berkata pada fasa kelima, Etiqa telah menyumbang sebuah trak kesihatan yang dipanggil sebagai Klinik Saringan Bergerak Nasional Etiqa kepada pihak NCSM dan sehingga kini, trak kesihatan itu berjaya menyaring lebih 50,000 individu bagi kanser payudara, serviks dan prostat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan