AM

AVISENA BINA BANGUNAN TAMBAHAN, PERLUAS PERKHIDMATAN KESIHATAN KEPADA PENDUDUK LEMBAH KLANG

11/06/2024 12:26 AM

SHAH ALAM, 10 Jun (Bernama) -- Avisena Healthcare hari ini melancarkan usaha pembangunan strategiknya melalui pembinaan bangunan tambahan Hospital Pakar Avisena di sini, yang dijangka beroperasi pada 2027 bagi memenuhi keperluan peningkatan bilangan penduduk di Lembah Klang. 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Avisena Healthcare Elina Nadia Omar berkata bangunan tambahan itu bakal menyediakan 275 katil, 35 subkepakaran, lebih 80 suite pakar, 10 dewan pembedahan canggih, satu dewan pembedahan hibrid serta perkhidmatan onkologi komprehensif. 

Beliau berkata bangunan 11 tingkat itu akan dihubungkan dengan bangunan sedia ada melalui jambatan tertutup dua tingkat dengan mengetengahkan rekaan berkonsepkan seni bina Biophilic moden yang menggalakkan persekitaran pemulihan kesihatan menerusi unsur semula jadi.

"Di sini, kami juga menerajui kepakaran Unit Trauma yang holistik merangkumi bidang pembedahan plastik, estetik dan rekonstruktif, terutamanya dalam konteks rawatan luka kebakaran mahupun kemalangan.

"Pada masa sama, Avisena telah mengambil inisiatif untuk penambahbaikan waktu menunggu dengan kapasiti sedia ada melalui teknologi pintar yang akan diadaptasikan dengan rawatan kesihatan untuk dilaksanakan lebih efisien," katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Bangunan Tambahan Hospital Avisena di sini hari ini. 

Elina Nadia berkata bangunan baharu yang bakal menawarkan perkhidmatan onkologi atau rawatan kanser dengan kemudahan jagaan harian, kemoterapi dan radioterapi itu bukan sahaja mampu memberikan rawatan dan diagnosis awal, malah kesedaran mengenai penyakit itu juga akan diterapkan kepada masyarakat.

Beliau berkata usaha Avisena mempertingkatkan kualiti kesihatan akan berterusan dengan pembinaan hospital berkonsepkan Smart Healthcare yang dilengkapi 250 katil di Cyberjaya yang dijangka bermula awal 2026.

Avisena Specialist Hospital Cyberjaya akan menjadi hospital swasta pertama dibangunkan berlandaskan konsep Smart Healthcare, iaitu penjagaan kesihatan yang akan dipacu kecerdasan buatan (AI), automasi, robotik dan precision medicine, katanya. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan