AM

PEMAJU HARTANAH DISERU PENUHI STANDARD, AMALAN TERBAIK ANTARABANGSA - NGA

10/06/2024 10:06 PM

PUTRAJAYA, 7 Jun (Bernama) -- Pemaju hartanah diseru untuk memenuhi standard dan amalan terbaik antarabangsa selain menggunakan teknologi canggih dan terkini dalam sektor pembinaan, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Bercakap pada Majlis Penghargaan Kecemerlangan Pemaju Hartanah sempena Majlis Anugerah Prix d'Excellence Anugerah Dunia Persekutuan Hartanah Antarabangsa (FIABCI) di sini, hari ini, beliau berkata pembangunan hartanah yang mencapai standard dan kualiti tertentu dapat menarik minat pembeli tempatan mahupun antarabangsa.

“Selain itu, kriteria reka bentuk perumahan perlu mengambil kira kemampanan dan elemen kelestarian dengan menggunakan bahan binaan yang lebih mesra alam dan cekap tenaga.

“Ini bagi mengurangkan impak negatif terhadap alam sekitar dan seterusnya memberi sumbangan positif kepada pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan,” katanya.

Nga berkata 21 syarikat pemaju hartanah dengan 35 projek hartanah yang dibangunkan di Malaysia telah menerima anugerah emas dalam Majlis Anugerah Prix d'Excellence FIABCI yang berlangsung di Singapura bulan lepas. 

Anugerah Pemenang Emas Dunia (World Gold Winner) bagi anugerah tersebut meliputi pelbagai kategori industri hartanah di Malaysia. 

Beliau berkata sebanyak enam projek Malaysia daripada 14 kategori telah diumumkan sebagai pemenang peringkat emas antaranya Projek SkyAwani 3 Residences oleh SkyWorld Development Berhad bagi kategori Rumah Mampu Milik dan Pavilion Bukit Jalil ( MTrustee Bhd for Pavilion REIT) bagi Kategori Peruncitan.

“Pengiktirafan antarabangsa menunjukkan tahap kebolehan dan kemampuan pemaju serta komitmen dalam penyediaan rumah yang lebih mampan dan berkualiti tinggi bertaraf dunia kepada rakyat Malaysia.

“(menerusi pengiktirafan itu) terbukti taraf pemaju-pemaju tempatan mampu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan pemaju yang terkemuka di seluruh dunia,” katanya. 

Sementara itu, katanya Sidang Kemuncak Hartanah ASEAN yang akan diadakan tahun hadapan di Kuala Lumpur bakal menjadi acara penting yang menghimpunkan pemimpin industri, pakar dan pihak berkepentingan sektor itu dari rantau ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan