AM

KEBEBASAN MEDIA TERJAMIN, NAMUN JANGAN GUNA UNTUK PECAH BELAH NEGARA - ANWAR

07/06/2024 10:20 PM

KUALA LUMPUR, 7 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menegaskan kerajaan tidak berganjak dengan pendirian untuk menjamin kebebasan media di negara ini, namun kebebasan itu tidak boleh digunakan untuk memecahbelahkan perpaduan dan keharmonian negara termasuk menyentuh isu 3R iaitu raja, agama dan kaum. 

Perdana Menteri berkata kerajaan sentiasa mendukung dan mempertahankan hak serta kebebasan media dalam memberi teguran dan kritikan, malah semangat itu kekal sejak prakemerdekaan negara.

“Pendirian saya dan rakan-rakan dalam jemaah menteri, tiada tindakan diambil atau kawalan terhadap ruang kebebasan wartawan dan media memberi pandangan, teguran dan kritikan.

“Saya beri jaminan semangat (kebebasan media) itu kekal, walaupun timbulkan sedikit keresahan kerana ketegasan kita (kerajaan) tangani isu terkait dengan keselamatan, fahaman cauvinisme (patriotisme melampau) dan perkauman, atau aliran pelampau agama.

“ … bukannya singgung soal kaum, raja tapi gunakan isu itu untuk pecah belah, porak-peranda (negara),” katanya dalam ucap tama pada majlis Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) MPI-Petronas 2023 pada Malam Wartawan Malaysia 2024 di sini malam ini.

Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas merupakan acara tahunan bagi mengiktiraf karya-karya kewartawanan cemerlang sepanjang tahun.

Perdana Menteri berkata Malaysia mampu menjadi negara yang hebat sekiranya wartawan tempatan dapat menumpukan pelaporan dengan matlamat untuk menjamin keamanan dan mengangkat kemajuan negara.

“Nilai seorang wartawan yang berjaya ialah dia kerja dengan perasaan, keyakinan, ada passion (semangat) dalam profesion.

“Saya percaya dan yakin Malaysia ini mampu jadi negara hebat dan gagah kalau tumpu kepada matlamat kita terhadap keamanan, ekonomi, budaya, agama, digital tapi jangan diheret dengan isu memecah belah, papar kebodohan, keangkuhan sehingga menghakis kemanusiaan,” kata beliau.

Dalam pada itu, Anwar turut menggesa rakyat supaya meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris tanpa mengetepikan usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi atau lingua franca di negara ini.

Beliau berkata bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dalam sistem Perlembagaan Persekutuan terus dipatuhi dan dilaksanakan, namun kepentingan penguasan bahasa Inggeris tidak boleh dipinggirkan.

“Saya beri arahan kepada Menteri Pendidikan (Fadhlina Sidek) dan Kementerian Pendidikan Tinggi untuk pertahankan dasar bahasa Melayu, tapi pada masa sama lonjakkan keupayaan supaya mutu penguasaan bahasa Inggeris ditingkatkan,” kata Anwar.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan