AM

PEMASARAN DIGITAL AGROMAKANAN PENTING UNTUK TINGKAT PENDAPATAN USAHAWAN IKS - FAMA

08/06/2024 12:36 PM

KUALA LUMPUR, 8 Jun (Bernama) -- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bersedia membantu usahawan agromakanan tempatan yang berdaftar di bawah agensi itu dalam aspek pemasaran digital bagi meningkatkan hasil dan mutu jualan mereka.

Ketua Pengarah FAMA Abdul Rashid Bahri berkata pihaknya tekad dalam membantu meningkatkan pertumbuhan usahawan FAMA selari dengan arus pemodenan global.

"Kami anjurkan program seperti ini (pemasaran dalam talian) agar usahawan FAMA bergerak maju setaraf dengan usahawan lain yang berjaya di serantau Asia. 

"Kaedah pemasaran baharu secara dalam talian ini perlu diteroka usahawan FAMA dan ini merupakan satu trend yang semakin popular dalam kalangan pembeli di negara ini dan saya harap usahawan dapat meningkatkan pendapatan mereka serta jangkauan pelanggan," katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Program Agromarketing Masterclass: TikTok Shop Edition di sini semalam.

Beliau berkata program yang diadakan secara rintis bersama TikTok Shop dan City-Link Express dapat melatih dan membimbing usahawan dari segi pemasaran produk secara lebih kreatif dan berkualiti.

Abdul Rashid berkata pihaknya turut bercadang untuk mengadakan lebih banyak program latihan seumpama itu kepada usahawan agro pada masa akan datang.

"Kalau program ini berjaya dan mendapat sambutan yang baik daripada usahawan kita, kita akan adakan lagi program yang mengkhususkan kepada pemasaran melalui e-dagang," katanya.

Menurut Ketua Perkongsian Strategik TikTok Shop Nur Azre Abdul Aziz, kolaborasi bersama FAMA dapat membantu usahawan agro tempatan dalam memperluas hasil dan mutu jualan mereka di peringkat nasional.

"Setakat ini kita telah menyokong lebih daripada 1.3 juta usahawan dan 98 peratus merupakan Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

"Sokongan TikTok Shop bukan sahaja untuk meningkatkan daya saing usahawan tempatan, tetapi juga untuk menjadikan perniagaan mereka terkenal sekali gus menyediakan peluang pekerjaan terutamanya di kawasan luar bandar," katanya.

Program terbabit yang merupakan projek rintis FAMA disertai  80 syarikat berdaftar di bawah FAMA.

Pelaksanaan program dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu dari 7 hingga 9 Jun bagi kumpulan pertama dan 5 hingga 7 Julai bagi kumpulan kedua, dengan turut disertai usahawan Orang Kurang Upaya (OKU).

Pengusaha Trendvile Marketing yang juga seorang daripada usahawan OKU FAMA Irwan Fairuzi Johari, 40, berkata program berkenaan dapat membantu meluaskan platform perniagaannya yang bertumpu kepada penjualan rempeyek pelbagai perisa dan produk makanan sejuk beku.

"Masih banyak lagi yang saya perlu belajar dan teruja untuk belajar sebab sekarang ini semua (pembelian) secara dalam talian daripada beli rempah ke kicap, jadi nak kena belajar juga macam mana nak tingkatkan pemasaran dan kandungan iklan," katanya yang menghidap penyakit saraf sejak 10 tahun lepas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan